PRODUK yang dihasilkan Azizah dipertonton di Pameran Seni Tekat pada Hari Kraf Kebangsaan 2018.
PRODUK yang dihasilkan Azizah dipertonton di Pameran Seni Tekat pada Hari Kraf Kebangsaan 2018.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Zaman dahulu, barangan tekat benang emas menjadi lambang dan simbol kekayaan sesebuah keluarga, tetapi kini produk sulaman itu tidak hanya eksklusif untuk golongan istana dan kenamaan saja, tetapi turut ditempah masyarakat yang berminat dengan kehalusan seni itu.

Sulaman tekat benang emas tidak terbatas untuk penataan ruang seperti hiasan dinding, sarung kusyen, kotak tisu, cenderamata dan tudung saji, tetapi turut melengkapi pembuatan pakaian, kasut, beg tangan, hiasan kepala serta kelengkapan perkahwinan seperti tepak sirih, pelamin dan set bilik tidur.

Menceritakan mengenai seni warisan negara itu, Tokoh Kraf Negara 2018, Azizah Mohammad Yusof, 80, berkata, seiring peredaran masa, pembuatan menekat benang emas kini lebih mudah dengan bantuan teknologi dan peralatan moden, namun dia masih mengusahakan tekatan menggunakan tangan bagi memelihara nilai estetika sulaman tekat yang dihasilkan.

“Dulu semua dibuat dengan tangan dan cantuman mesin, tetapi sekarang agak mudah dengan adanya mesin sulam berkomputer dan peralatan canggih yang membantu mempercepatkan proses tekatan seperti mereka bentuk corak bunga yang dulunya menggunakan gam yang dimasak sendiri dan dilekatkan di atas kertas tebal.

“Namun, dari segi tekatan, saya masih suka menggunakan tangan bagi mengekalkan keaslian seni tradisional. Sebab itu ramai orang pertikai kenapa harganya mahal sampai mencecah puluhan ribu, tetapi apabila saya selalu dijemput mengadakan demonstrasi menekat di mana-mana, baru orang tahu cara membuatnya rumit dan memakan masa selain material digunakan sangat berkualiti.

“Setiap material seperti benang emas saya tempah khas dari Perancis, Jepun dan India manakala baldu dari Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk menjamin kualiti tekat saya,” katanya.

Menurut ibu kepada sembilan anak itu, kemahiran sulaman tekat berkenaan diwarisi sejak di bangku sekolah daripada ibu dan neneknya yang mewarisi kemahiran berkenaan turun-temurun.

“Nenek dan ibu saya adalah tukang tekatan benang emas untuk keluarga diraja dan orang kenamaan Perak sekitar 1920-an dan 30-an.

“Saya adalah generasi keempat. Sejak di bangku sekolah saya selalu tolong mereka menekat benang emas dan selepas tamat persekolahan, saya menumpukan sepenuhnya terhadap bidang ini,” katanya.

Menurutnya, biarpun zaman berubah, permintaan terhadap sulaman tekat masih banyak kerana bukan hanya digunakan kerabat diraja dan pembesar negeri saja malah seni halus ini juga menarik minat golongan masyarakat biasa untuk memilikinya.

“Selain kerap menerima tempahan daripada keluarga diraja Perak, saya turut diberi kepercayaan membuat tekatan untuk kelengkapan perkahwinan dari istana Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor serta tempahan dari luar negara seperti Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Brunei dan Singapura.

“Saya juga pernah diberi penghormatan menekat benang emas bunga pada kasut Puteri Diana yang direka Datuk Jimmy Choo malah saya juga terbabit dalam menguruskan majlis perkahwinan di istana Brunei,” katanya.

Katanya, selain sibuk membuat tempahan, dia juga kerap dijemput membuat demonstrasi dan kursus bagi berkongsi ilmu kemahiran berkenaan kepada generasi pelapis.

“Saya kerap dijemput membuat demonstrasi dan pameran di dalam dan luar negara. Dulu di Malaysia tidak ramai, tetapi Alhamdulillah pihak Kraftangan Malaysia juga banyak memelihara seni ini supaya tidak pupus dengan mengadakan kursus untuk orang ramai terutama golongan muda.

“Saya juga ada menurunkan ilmu warisan ini kepada anak dan cucu. Walaupun mereka berpelajaran dan berjawatan tinggi, mereka memang ditanamkan ilmu seni menekat ini sejak kecil kerana saya tidak mahu warisan ini mati begitu saja.

“Biarpun saya semakin berusia, namun seni menekat ini memang tak dapat dipisahkan dengan diri saya. Selagi ada hayat dikandung badan, selagi itu saya akan curahkan kudrat saya dalam mempertahankan seni warisan ini,” katanya yang turut dibantu dua anak secara sepenuh masa dan 16 pekerja dalam menyiapkan tempahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 8:22 AM