SENTUHAN unik yang mengangkat Koleksi Siena ke pasaran antarabangsa.
SENTUHAN unik yang mengangkat Koleksi Siena ke pasaran antarabangsa.
Intan Mas Ayu Shahimi


Mungkin ramai antara kita kian terlupa pada seni tekat berbanding tenunan dan sulaman. Tekat atau disebut juga bersuji adalah sulaman benang emas di atas kain dasar (baldu).

Kerja menekat pula memerlukan pemidang untuk meregangkan kain baldu, mempulur sebagai acuan motif dan benang emas untuk membentuk bunga tekat.

Menyedari potensi seni tekat dalam memacu perkembangan industri fesyen negara, Pengarah Kreatif Sakura Malaysia, Suraya Sharifuddin memilih motif tradisional berkenaan sebagai elemen utama beg tangan keluarannya.

Bermula dengan Koleksi Perak yang menonjolkan motif tekat benang emas tiga tahun lalu, beg rekaan pereka muda ini terus mencipta fenomena sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya lahir di Perak, negeri yang giat memperkasa seni tekat sejak dulu. Kalau ke Bukit Chandan di Kuala Kangsar, memang ramai pakar kraf yang boleh menghasilkan tekat berkualiti.

“Oleh itu, saya terpanggil untuk turut serta mengkomersialkan seni tekat sebagaimana orang lain memfokuskan kepada seni batik dan songket,” katanya.

Menurut Suraya, selepas kejayaan Koleksi Perak, rekaannya berkembang kepada Srikandi Agung yang menggunakan motif tekat benang hitam.

Istimewanya tahun ini, Sakura Malaysia memperkenalkan Koleksi Siena yang diinspirasikan daripada seni bina unik dan bersejarah di serata Eropah.

Koleksi Siena membariskan sembilan variasi beg tangan bermotifkan seni tekat berwarna merah gelap, hijau zamrud, perak dan biru ais. Motif ditekat menggunakan benang songket yang lebih berkualiti, tahan lasak dan tidak mudah putus.

Saiz beg tangan koleksi terbaru ini juga kecil berbanding sebelumnya kerana fokus penggunaan lebih kepada aksesori majlis formal dan makan malam. Begitupun, koleksi Siena masih boleh dipadankan dengan gaya kasual.

“Tanda pengenalan Sakura Malaysia adalah seni tekat di bahagian depan dan rumbai tassel di sisi beg tangan. Ada juga rekaan ringkas yang kita padankan dengan rantai untuk menonjolkan sisi feminin dan gaya mewah pemakai.

“Beg ini sebenarnya sesuai untuk dibawa ke majlis formal mahupun kasual asalkan bertepatan dengan gaya,” katanya.

Mengenai perincian Koleksi Siena, Suraya berkata saiz beg adalah bergantung kepada motif tekat dan kepakaran artis atau juru tekat. Sulaman tekat perlu disiapkan terlebih dulu sebelum memikirkan reka bentuk mahupun saiz beg tangan yang hendak disuai padan.

“Menghasilkan beg tekat memang rumit, namun saya optimis bahawa koleksi beg seni tekat mampu berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa lain. Setakat ini jenama Sakura sudah terjual di Eropah, Brunei dan Singapura.

“Penyertaan Sakura di London Modest Fashion Week (LMFW) 2017 pada Februari depan diharap membuka ruang lebih luas untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:04 AM