Maskot rasmi Piala Dunia 2018 di Rusia, Zabivaka. FOTO Reuters
Maskot rasmi Piala Dunia 2018 di Rusia, Zabivaka. FOTO Reuters
Audrey Dermawan


KERAJAAN Persekutuan tidak akan membuat pembayaran satu sen pun untuk mendapatkan hak penyiaran bagi 41 daripada 64 perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 di Rusia yang akan ditayangkan di Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia kerana pihaknya berjaya mencari penaja untuk membiayai kos bernilai RM30 juta bagi siaran langsung Piala Dunia 2018.

Katanya, pihaknya turut menerima kritikan pelbagai pihak yang mempersoalkan tujuan membuat siaran langsung Piala Dunia 2018 secara percuma, sedangkan turut melancarkan kutipan derma daripada orang ramai.

"Kita akan menayangkan iklan ketika waktu rehat bagi setiap perlawanan, sebagai pulangan kepada setiap penaja siaran langsung Piala Dunia 2018 ini.

"Malah, rakyat Malaysia juga mampu menikmati penjimatan sehingga RM100 (berbanding siaran televisyen berbayar)," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dilapor berkata, 27 daripada 41 perlawanan berkenaan akan ditayang secara langsung dengan keseluruhan kos siaran itu dijangka bernilai RM30 juta.

Piala Dunia 2018 akan berlangsung di 12 lokasi di Rusia dengan perlawanan pertama dijadual bermula pada 14 Jun ini.

Terdahulu, Guan Eng menerima sumbangan bernilai RM3 juta bagi Tabung Harapan Malaysia (THM) yang disampaikan oleh Ewein Bhd, Magni-Tech Industries Bhd dan ahli perniagaan Tan Sri Tan Kok Ping.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, sumbangan bernilai RM27 juta sudah berjaya dikumpulkan dalam akaun THM, setakat 9.30 pagi tadi.

"Kami ingin berterima kasih kepada semua penderma dan saya juga ingin maklumkan jumlah terkumpul setakat ini sudah meningkat kepada lebih RM30 juta selepas mengambil kira sumbangan yang baru sahaja diterima sebentar tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 3:20 PM