CHARLIE masih tidak percaya meraih kejayaan dalam bidang seni. FOTO Warner Music Malaysia
CHARLIE masih tidak percaya meraih kejayaan dalam bidang seni. FOTO Warner Music Malaysia
Georgie Joseph

Menjadi antara penyanyi digilai sekarang, Charlie Puth terus melebarkan sayapnya berbekalkan bakat muzikal yang terbukti berkualiti.

Charlie, 26, membuktikan dirinya bukan bintang semusim saja walaupun pada awalnya ramai menjangkakan penyanyi Attention itu mungkin tidak bertahan lama.

Bagaimanapun, dia membuktikan kesungguhannya lebih mengatasi cakap-cakap orang apabila melancarkan album kedua berjudul Voicenotes.

Apapun, Charlie mengakui dia masih bermimpi dengan tahap dicapainya sekarang dan tidak sangka dapat pergi jauh.

“Saya masih tidak percaya dengan semua ini. Bahkan, saya kerap cuba mencubit diri sendiri apabila berada dalam situasi yang tidak pernah terjangka.

“Sewaktu saya ke Hollywood untuk menjalani sesi rakaman album baru, ia seperti bermimpi. Dapat pula bekerjasama dengan James Taylor, saya tidak pernah segembira ini,” katanya yang memuja legenda rock itu.

Sememangnya peminat Charlie sudah lama menanti album penuhnya selepas tampil dengan lagu Attention dan How Long, awal tahun ini.

Akhirnya, album itu dilancarkan dengan berbekalkan banyak lagu lebih hebat berbanding album terdahulu berjudul Nine Track Mind pada 2016.

Bercerita mengenai album terbabit, Charlie berkata, secara peribadi ia sangat bermakna buatnya dan penceritaannya lebih jujur.

“Saya mahu dedikasikan album ini kepada semua yang turut serta dalam perjalanan hidup saya. Ia adalah cerita mengenai perubahan yang berlaku di dunia ini dan bagaimana berharganya pembabitan mereka.

“Menerusi setiap lagu, saya mahu bercerita dari awal hinggalah ke lagu penamat. Harapan saya apabila mereka mendengarnya, mereka akan faham jalan cerita setiap lagu,” katanya.

Menyifatkan ia hasil tangannya yang paling jujur, Charlie turut memasukkan pelbagai elemen baru serta jauh berbeza daripada album terdahulu.

Bagi menjadikan kualiti muziknya lebih bagus dan bunyinya mahal, penyanyi berkenaan banyak menggabungkan elemen jazz serta pop dalam setiap lagu.

MAHU bercerita menerusi album barunya berjudul Voicenotes. FOTO Warner Music Malaysia
MAHU bercerita menerusi album barunya berjudul Voicenotes. FOTO Warner Music Malaysia

“Kali ini saya banyak bereskperimen dengan pelbagai elemen di mana ada bunyi daripada muzik Brazil. Namun, fokus utama saya untuk menggabungkan jazz dan pop supaya bunyinya kedengaran lebih istimewa.

“Saya juga sangat bangga apabila dapat bekerjasama dengan kumpulan Boyz ll Men yang mana permainan vokal untuk lagu itu sangat menarik. Untuk lagu itu saja, saya menggunakan ratusan lapis suara,” katanya.

Menurut Charlie, banyak pengalaman menarik untuk proses penghasilan album kali ini. Bermula daripada proses pembikinan sehinggalah rakaman, dia menyifatkan perjalanannya cukup indah dan bermakna.

“Untuk mencari melodi saja, saya mulakan dengan bunyi-bunyian pelik daripada binatang bagi mendapat sesuatu yang istimewa. Sepanjang mencuba melodi berkenaan, ketika itulah juga lirik saya cipta secara spontan,” katanya.

Charlie juga menggunakan pendekatan yang cukup berisiko menerusi beberapa lagunya dengan konsep mengelirukan.

“Sebagai contoh untuk lagu yang menggunakan judul Boy. Pasti ia akan mencetuskan tanda tanya kenapa saya memilih judul berkenaan, sekali gus timbul salah sangka.

“Namun itulah yang saya mahu sebenarnya apabila orang berteka-teki dengan misteri lagu itu,” katanya.

Charlie mula mencetuskan fenomena pada 2016 apabila lagu duetnya bersama Wiz Khalifa berjudul When I See You Again menjadi popular di seluruh dunia. Kemudian, dia terus mengukuhkan namanya menerusi lagu One Call Away.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 4:28 AM