NORBA menyiapkan nasi beriani kambing untuk pelanggan.
NORBA menyiapkan nasi beriani kambing untuk pelanggan.
Suraya Roslan

Petaling Jaya: Resipi turun-temurun warisan keluarga diamalkan sejak seabad lalu menjadi rahsia keenakan nasi beriani kambing dan nasi tomato dijual Norba Nani Abu Bakar, 39.

Norba yang juga peniaga tetap Bazar Ramadan Taman Sri Manja, di sini, sejak lima tahun lalu memang dinanti-nantikan pelanggan termasuk dalam kalangan bukan Muslim.

Wanita itu ketika ditemui berkata, dia memang berasa gembira kerana resipi warisan keluarganya itu mendapat perhatian ramai pelanggan.

“Saya hanya berniaga pada bulan Ramadan saja untuk bantu suami tambah pendapatan, syukur kerana hidangan ini mendapat sambutan menggalakkan.

“Apa yang unik ialah saya ada lima orang pelanggan tetap dalam kalangan pelbagai bangsa yang datang setiap hari.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kebiasaannya makanan habis dijual,” katanya, yang juga antara peserta program 5by20 di bawah inisiatif Komuniti Usahawan Coca-Cola (Coca-Cola KU).

Menerusi program itu, Coca-Cola KU melaksanakan komitmen secara global untuk memperkasakan lebih lima juta usahawan menjelang 2020.

Ibu lima anak itu berkata, setiap kali Ramadan ibunya, Norliah Hashim, 53, akan datang ke rumahnya untuk membantu memasak dua makanan itu.

NASI tomato yang dijual di gerai Norba.
NASI tomato yang dijual di gerai Norba.

“Persiapan menyediakan dua hidangan ini dimulakan seawal jam 7.30 pagi dan pada kebiasaan siap pada 1.30 tengah hari,” katanya.

Menurutnya, dia yang dibantu anak sulung, Muhammad Nazrul Hakim Azlan, 17, dan rakan remaja itu, Muhammad Safwan Aris Fatillah, 17, ke tapak bazar pada jam 3.30 petang untuk melakukan persiapan sebelum mula berniaga.

“Setiap hari saya menggunakan 15 kilogram beras (kg) dan 15kg daging ayam untuk menyediakan nasi tomato. Manakala bagi nasi beriani pula 7kg beras dan 6kg daging kambing,” katanya.

Katanya, dia percaya pada rezeki diberikan Allah SWT dan setiap hidangan dimasak dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang supaya keberkatan datang untuk keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 4:21 AM