BONUS atas usaha dapat mengembara ke lokasi menarik sekitar negara dikunjungi.
BONUS atas usaha dapat mengembara ke lokasi menarik sekitar negara dikunjungi.
Intan Mas Ayu Shahimi

Gerak kerja sukarelawan terbahagi kepada banyak cara, kaedah, kategori dan saluran. Namun tidak kira sudut mana dipandang, amal kebajikan tetap meletakkan seseorang itu di tempat yang baik dan dihormati masyarakat keseluruhan.

Mengenali sedikit sebanyak latar belakang Pertubuhan Sukarelawan MISI7, ada banyak program unik menarik Hati untuk dikongsi dengan pembaca. Ditubuhkan secara rasmi pada Januari 2015, nama badan sukarelawan ini agak jarang meniti di bibir berbanding badan amal dan kebajikan yang lain.

Kata setiausahanya, Mohd Khairul Nazmei Salleh, dalam lapangan kemanusiaan, badan sukarelawan itu lebih cenderung mengamalkan konsep ‘touch N stay’ iaitu membantu penerima sehingga mereka dapat berdiri sendiri tanpa mengharapkan bantuan mahupun sokongan lain.

“Setiap kali menyantuni orang susah, kami akan ikut perkembangan mereka. Konsep ini menjadikan kami lebih fokus dalam misi bantuan, sekali gus menyelesaikan masalah mereka untuk jangka panjang. Selepas itu, barulah kami cari penerima baru,” katanya.

MENYANTUNI anak Rohingya.
MENYANTUNI anak Rohingya.

Bercerita lanjut, Mohd Khairul berkata, sebenarnya dia seorang daripada pengasas MISI7. Badan amal itu ditunjangi lapan exco dan kini mempunyai 767 sukarelawan berdaftar dari seluruh negara.

“Objektif penubuhan kami adalah untuk mengumpulkan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang. Kami mahu membina kumpulan sukarelawan berkualiti dari segi pengetahuan dan kemahiran dalam membantu misi kemanusiaan yang dirancang.

“Selain melakukan kerja amal, menyempurnakan misi dan menabur bakti kepada kelompok memerlukan, kami juga kerap mengadakan program untuk mengumpul serta membina asas jaringan di antara sukarelawan.

“Kami mahu terus berkhidmat, memberi bantuan pendidikan kepada golongan asnaf, menghulurkan tangan kepada mangsa bencana serta memperkasa golongan belia untuk menyantuni mereka yang lebih memerlukan,” katanya.

Kata Mohd Khairul, menariknya mengenai ahli terawal MISI7, mereka terdiri daripada barisan sukarelawan yang turun menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir besar di Kelantan pada awal 2015.

MELAYAN anak istimewa.
MELAYAN anak istimewa.

“Ketika Kelantan ditimpa musibah, ada badan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak melancarkan 14 misi bantuan banjir di sana. Bagaimanapun, kelompok sukarelawan Misi Ketujuh yang mengendalikan bantuan banjir berkenaan mengambil inisiatif mengekalkan pasukan dan kami terus melakukan pelbagai aktiviti kemanusiaan.

“Jadi, nama MISI7 ini adalah simbolik kepada pertemuan yang menyatukan sukarelawan dalam

khidmat bantuan kemanusiaan. Kami berpegang kepada slogan rasmi, ‘Unite for Humanity’ (Bersatu untuk Kemanusiaan) yang menggambarkan perbezaan latar belakang sukarelawan, tetapi bersatu demi mencapai matlamat dan tujuan sama iaitu menyumbang kepada khidmat kemanusiaan,” katanya.

MISI sukarelawan ke luar negara.
MISI sukarelawan ke luar negara.

Program 3 dalam 1

Tidak terhad kepada program kebajikan biasa-biasa, Mohd Khairul berkata, ada banyak aktiviti dijadualkan barisan exco setiap awal tahun. Bagaimanapun, masih banyak ruang ditinggalkan kosong untuk program tidak dirancang kerana mengikut keperluan semasa seperti bencana alam atau membabitkan permintaan sesetengah pihak.

“Secara dasarnya, aktiviti sukarelawan kami juga dibahagikan kepada dua iaitu Program Dalam Negara dan Program Luar Negara. Untuk aktiviti dalam negara umpamanya, kami mempunyai senarai penerima manfaat berstatus asnaf yang sudah dipilih. Antaranya, komuniti Rohingya di Seri Serdang; Madrasah Darul Tahfiz Sri Al Ain, Sungai Buloh; Pusat Jagaan Kanak-Kanak Down Syndrome & Hyper Active, Klang dan Pondok Al-Fateh, Kota Belud, Sabah.

KUNJUNGI keluarga bersama sumbangan.
KUNJUNGI keluarga bersama sumbangan.

“Sementara aktiviti luar negara pula lebih dikenali sebagai Volunteer.Donate.Travel. Program ini membabitkan tujuh negara Asean iaitu Indonesia (Aceh Besar), Kemboja (Wilayah Ratanakiri), Filipina (San Merigio, Cebu), Vietnam (Dong Nai), Thailand (Chiang Rai dan Nong Khai), Myanmar (Tachilek) dan Laos (Vientiane dan Muang Houn).

“Asalnya, program ini bermula pada 2016. Ketika itu kami adakan program di Aceh Besar. Saya sendiri pergi ke sana untuk melakukan penilaian. Dalam masa sama, saya mencuri peluang membantu pesantren di sana mengajar kelas tambahan subjek asas komputer dan bahasa Inggeris secara percuma.

“Sepanjang empat bulan di sana, saya mengenal pasti keperluan di Aceh dan berkongsi maklumat bersama rakan ahli jawatankuasa pertubuhan. Kami pergi ke sana, memberi sumbangan dan melakukan aktiviti bersama pelajar. Sebagai bonus, kami berpeluang melawat tempat menarik di Aceh. Dari situlah lahirnya program ziarah unik MISI7 ini,” katanya.

SUKARELAWAN memberi sumbangan dan melakukan aktiviti bersama pelajar.
SUKARELAWAN memberi sumbangan dan melakukan aktiviti bersama pelajar.

Selepas menjejaki bumi Aceh, anggota badan sukarelawan itu ke utara Thailand dan berbakti di pusat mualaf, Yayasan As-salam, seterusnya mengorak lang­kah luas ke Laos, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan Filipina menerusi maklumat dari kenalan.

Dalam tempoh program yang singkat, anggota MISI7 melakukan banyak aktiviti psikososial bersama pelajar, membeli dan menyerahkan barang sumbangan kepada kelompok memerlukan.

“Kami tetapkan had penyertaan sukarelawan sehingga 15 orang untuk misi ke luar negara, bergantung kepada kesesuaian lokasi. Ini penting kerana sasaran utama kami adalah untuk menyantuni golongan memerlukan.

“Mungkin ada pihak yang persoalkan, di Malaysia juga ramai yang susah...ramai mualaf yang memerlukan bantuan, kenapa fokus luar negara dan sebagainya. Namun demikian, bagi kami di sini ramai alim ulama dan orang berilmu.

“Malah, negara kita jauh lebih mewah jika diukur dari segi pendidikan, ekonomi, pembangunan, siasah dan muamalah. Cuba lihat mereka yang di negara mundur dan selami kehidupan umat Islam di sana. Pasti kita merasa bertuah kerana tinggal di Malaysia.

“Paling penting, dalam khidmat kemanusiaan ini, usah kita meletak sebarang batu sempadan. Cukuplah kita membantu sejauh mana yang kita mampu kerana setiap orang mempunyai bahagian, rezeki, masa dan kesihatan yang Allah beri,” katanya.

BERSAMA anak pesantren Hidayatullah Putri.
BERSAMA anak pesantren Hidayatullah Putri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 9:15 AM