ANIS Al Idrus. FOTO Mahzir Mat Isa
ANIS Al Idrus. FOTO Mahzir Mat Isa
Sudirman Mohd Tahir


Kerjaya lakonan diceburi Anis Al Idrus pada 2011 membuatkan namanya terus dikenali sehingga sekarang.

Walaupun pada masa sama, Anis, 30, turut melebarkan sayap dalam bidang nyanyian dan lakonan, cintanya terhadap lakonan tidak pernah padam.

Namun, sejak aktif sebagai pengacara, Anis atau nama sebenarnya Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus mengakui bidang itu dianggap lebih menguntungkan dari segi bayaran.

“Selepas hampir lapan tahun berlakon, sudah sampai waktu saya memilih yang terbaik untuk diri sendiri. Jika dahulu saya terima setiap tawaran yang datang tanpa memikirkan soal kualiti dan bayaran. Dengan cara itu, saya cepat dikenali dan meraih populariti.

“Sekarang tidak lagi. Saya sedar itu semua bersifat sementara. Lagipun, sekarang tawaran yang datang tidak berbaloi dengan bayaran. Sejujurnya, saya memang tidak ambil jika bayaran terlalu rendah. Sampai bila mahu begini?

“Bukan nak berlagak, tapi saya pun nak makan juga dan banyak komitmen lain. Pada kedudukan sekarang, saya tidak terdesak lagi soal populariti. Memandangkan bayaran pengacara lebih lumayan, lebih baik saya fokus pada bidang ini,” katanya.

Anis yang popular menerusi drama Uda & Dara berkata, punca kepada bayaran ditawarkan terlalu rendah disebabkan ramai pelakon baru yang sanggup menerima bayaran tidak masuk akal.

Disebabkan itu, Anis bersikap tegas terhadap prinsip diri iaitu bayaran perlu setimpal dengan hasil kerja.

“Dari dahulu lagi saya pentingkan kualiti daripada kuantiti. Saya tidak pernah bersikap sambil lewa. Ini kerana saya tahu tanggungjawab diberikan untuk sesuatu watak.

“Macam sekarang, mana tawaran yang memberikan bayaran okey, saya terima. Jika sebaliknya, saya minta maaf dan menolak dengan baik. Kasihan kepada pelakon lain yang pentingkan kualiti lakonan tetapi dibayar rendah.

“Sebagai orang yang turut menjalankan perniagaan, saya bersyukur boleh kawal dan susun kewangan. Tidak kasihankah kepada mereka yang bergantung sepenuhnya dalam bidang ini?,” katanya yang baru terbabit dalam program Cerita Bintang.

Anis kini mengambil keputusan memperlahankan kerjaya lakonan dengan memberi fokus kepada pengacaraan dan nyanyian.

Dia yang pernah muncul dengan single pertama, Mengapa pada 2015 baru saja melancarkan lagu kedua, Tak Guna.

Lagu ciptaan Hafiz Hamidun itu berentak rancak dan Anis ingin lari daripada trend muzik sekarang yang lebih kepada balada.

“Lagu pertama saya berentak balada, tapi ia gagal mendapat sambutan. Cuma, lagu ini kembali popular selepas menjadi lagu tema drama Satu Cinta di RTM hingga tercalon pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) tahun lalu.

“Jadi, untuk lagu kedua ini saya inginkan sedikit kelainan. Saya tidak mahu sama dengan penyanyi lain atau terikut dengan trend muzik sekarang. Menyanyi adalah minat saya, jadi saya cuba buat sehabis baik. Saya berharap peminat suka.

“Sama ada lagu ini diterima atau tidak, ia terpulang. Jika ia tidak mendapat sambutan lagi, saya tetap akan terus mencuba. Tidak kisah jika selepas lagu ke-10 sekali pun baru orang terima, saya takkan berhenti berharap,” katanya.

ANIS Al Idrus. FOTO Mahzir Mat Isa
ANIS Al Idrus. FOTO Mahzir Mat Isa

Single yang sudah dilancarkan di semua platform digital muzik sejak 14 April lalu itu bercerita mengenai kekuatan dan semangat wanita yang bangkit selepas ditipu beberapa kali oleh teman lelaki.

Anis juga mengakui dia ikhlas menghasilkan lagu itu tanpa sebarang agenda tersembunyi iaitu mengejar glamor.

Anis tidak kisah jika terdapat segelintir pihak yang melabel dirinya sebagai syok sendiri.

“Seperti yang dikatakan, nyanyian adalah minat saya. Pada masa sama, saya juga ada perkara lain yang dibuat. Menerusi penghasilan lagu ini, saya ingin berkongsi bakat kepada semua.

“Terpulang kalau ada cakap saya syok sendiri. Itu hak masing-masing dan saya tak boleh tutup mulut mereka. Kalau di laman sosial, saya terus sekat mereka. Saya hanya perlukan aura positif dan mahu perkara gembira saja,” katanya.

Belum rezeki hamil

Tanggal 7 Julai ini genap setahun usia perkahwinan Anis bersama suami tercinta, Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim, 36.

Sepanjang perkahwinan, Anis mengakui persoalan mengenai cahaya mata tidak pernah lekang.

“Saya seorang yang ‘happy go lucky’. Jadi, setiap kali ditanya mengenai anak, saya okey saja. Apa boleh dikatakan, ini semua rezeki dan kerja Allah SWT.

“Siapa yang tidak mahukan anak? Begitu juga saya dan suami. Kami tidak pernah merancang pun. Cuma, mungkin belum rezeki kami. Saya percaya dengan ketentuan Allah.

“Ramai lagi pasangan yang sudah berkahwin dalam tempoh lama tetapi belum dikurniakan anak. Kalau mereka boleh sabar, inikan pula saya yang usia perkahwinan belum setahun,” katanya.

Bercerita mengenai alam rumah tangga selepas berkahwin, Anis bertuah kerana mempunyai suami penyayang.

“Suami saya jenis ringan tulang. Dia lebih banyak mengemas rumah daripada saya. Dia pantang tengok rumah atau barang bersepah, mesti segera dikemas.

“Lagi satu, kalau saya pulang kerja dan penat, dia tetap bertanya sama ada saya sudah makan atau belum. Dia bukan saja penyayang, tapi juga romantik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 8:11 AM