FARAH menjadi tetamu jemputan program masakan Cerita Rasa Anis Nabilah musim kedua. FOTO Faiz Anuar
FARAH menjadi tetamu jemputan program masakan Cerita Rasa Anis Nabilah musim kedua. FOTO Faiz Anuar
FARAH Nabilah. FOTO Faiz Anuar
FARAH Nabilah. FOTO Faiz Anuar
FARAH Nabilah. FOTO Faiz Anuar
FARAH Nabilah. FOTO Faiz Anuar
Syafil Syazwan Jefri

Selepas empat tahun bertapak dalam bidang lakonan, ia bukan tempoh yang mudah buat Farah Nabilah.

Bermula dengan perlahan, dia terus melangkah dan berkat kesabaran, namanya mula menyerlah menerusi beberapa drama.

Drama bersiri Titian Cinta yang mencetuskan fenomena paling meninggalkan kesan buat pelakon berusia 26 tahun ini. Selain itu, Papa Ricky turut memperkenalkan Farah kepada khalayak.

Dalam Titian Cinta, gandingannya bersama Zul Ariffin nyata meninggalkan impak besar kepada penonton, sekali gus menjadi penanda aras dalam kerjayanya sebagai pelakon.

“Itu adalah tuah saya kerana digandingkan dengan Zul. Pada masa sama bertuah juga kerana menerima naskhah drama yang memiliki jalan cerita yang bagus,” katanya.

Namun, disebabkan itu juga, timbul rasa gusar dan sedikit tekanan dalam dirinya.

Ini kerana dia perlu membuktikan lakonannya selepas ini perlu lebih baik berbanding Titian Cinta.

“Jangkaan peminat semestinya lebih tinggi selepas mereka lihat lakonan saya dalam drama itu. Memang ada tekanan. Tapi seperti yang saya katakan, selain lakonan, pelakon gandingan serta jalan ceritanya juga perlu bagus,” katanya.

Bulan depan, Farah akan mula menjalani penggambaran drama berjudul Halalkan Hati Yang Ku Curi untuk slot Akasia, TV3.

FARAH Nabilah. FOTO Faiz Anuar
FARAH Nabilah. FOTO Faiz Anuar

“Dalam drama itu saya digandingkan dengan Aliff Aziz dan ditayangkan 27 episod sepanjang Ramadan nanti,” katanya.

Ditanya sama ada dia mampu mengekalkan momentum daripada Titian Cinta kepada drama seterusnya itu, Farah yakin ia masih kuat.

“Insya-Allah, momentum daripada Titian Cinta masih ada dan dibawa ke drama seterusnya. Saya akan berikan lakonan yang lebih baik dalam Halalkan Hati Yang Ku Curi.

“Saya ada peminat saya dan begitu juga dengan Aliff. Insya-Allah, drama ini menjadi satu lagi karya yang akan mengukuhkan lagi nama saya sebagai pelakon,” katanya.

Apa pun, anak jati Kelantan ini sentiasa mengingatkan dirinya supaya tidak terlalu mengejar populariti, sebaliknya membuktikan bakat lakonannya.

“Saya jadi pelakon bukanlah untuk mengejar populariti semata-mata. Apabila sudah ada yang mula mengenali saya menerusi lakonan, itu sudah memadai.

“Saya lebih selesa dihargai peminat berdasarkan lakonan berbanding populariti,” katanya.

Selain itu, Farah juga baru selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Adakah Ku Bersalah untuk slot Cerekarama, TV3.

“Insya-Allah, telefilem ini ditayangkan pada Februari nanti. Selain saya, ia membariskan beberapa pelakon hebat antaranya Hasnul Rahmat, Wilma, Shahz Jaszle dan ramai lagi,” katanya.

Suka memasak dan tak suka makan di luar

Melihatkan penampilannya yang cantik jelita ketika melangkah masuk ke ruangan banglo yang dijadikan lokasi sesi fotografi, siapa sangka Farah sebenarnya adalah ‘kaki makan’ dan suka memasak.

“Saya suka makan dan memasak. Saya anggap memasak sebagai salah satu terapi terbaik untuk saya.

“Ketika belum sibuk dengan lakonan, pernah beberapa kali saya bangun jam 3 pagi untuk membuat kek. Memasak menenangkan saya jika ada tekanan selepas bekerja,” katanya.

Menurut Farah, dia lebih gemar makan masakan di rumah berbanding di restoran.

“Saya tak ada pantang dalam memilih makanan. Berbanding makan di luar, saya lebih suka memasak sendiri kerana banyak faktor antaranya kebersihan dan mengikut selera saya,” katanya.

FARAH menjadi tetamu jemputan program masakan Cerita Rasa Anis Nabilah musim kedua. FOTO Faiz Anuar
FARAH menjadi tetamu jemputan program masakan Cerita Rasa Anis Nabilah musim kedua. FOTO Faiz Anuar

Menjadikan Cef Anis Nabila sebagai rujukan, Farah juga baru-baru ini menjadi tetamu jemputan untuk program masakan cef selebriti itu, Cerita Rasa Anis Nabilah musim kedua.

“Saya mengenali Anis menerusi program masakan dan memang mengikuti perkembangannya di Instagram.

“Jadi, apabila dijemput untuk memasak bersamanya, saya tak lepaskan peluang itu. Dia juga mudah mesra dan tak lokek ilmu masakan yang dia ada,” katanya.

Selain memasak, Farah juga kini mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan.

“Baru-baru ini, saya diberi peluang untuk mengacarakan salah satu episod program travelog berjudul Selatan Jauha. Memang itu pengalaman pertama saya dan memang menyeronokkan.

“Saya akan belajar perlahan-lahan mengenai selok-belok pengacaraan. Bila dah bersedia, baru saya akan terima tawaran yang lebih besar. Buat masa sekarang, saya tahu di mana kemampuan saya,” katanya.

Pada tahun ini, Farah meletakkan sasaran untuk menerima anugerah dalam memastikan semangatnya untuk bekerja sentiasa kuat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 2:41 AM