EYRA enggan mengulas status hubungannya dengan Haziq (kiri). FOTO Mahzir Mat Isa
EYRA enggan mengulas status hubungannya dengan Haziq (kiri). FOTO Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin


PELAKON Eyra Hazali, 19, enggan mengulas berhubung dakwaan hubungan rapatnya dengan penjaga gol Johor Darul Ta’zim, Haziq Nazli, 20, yang semakin diperkatakan ramai.

Kisah mereka mula menjadi perhatian apabila Eyra mengecap populariti menerusi drama Mr Grey termasuk ada beberapa keping foto bersama Haziq dimuat naik pelakon itu di laman Instagram (IG) miliknya.

Ketika diminta mengulas hubungan itu, heroin drama Mr Grey memberitahu dia harus mengutamakan permintaan bapanya, Hazali Ramli supaya tidak membuat sebarang penjelasan berhubung perkara berkenaan.

“Saya tidak akan ulas langsung mengenai perkara ini (hubungan dengan Haziq) kerana amat menghormati permintaan bapa. Bagi saya, perasaan ibu bapa dan keluarga lebih utama.

“Lagipun, sepanjang saya aktif dalam karier lakonan lebih sedekad lalu, saya berjuang di atas paksi berusaha mengetengahkan bakat seni sendiri.

“Saya tidak pernah sekali pun terkena tempias cerita sensasi yang menjurus pada soal peribadi seperti ini. Namun, saya tahu peminat dan penonton mengenali saya selama ini pun atas bakat yang diperjuangkan,” katanya.

Eyra yang kini sibuk menjalani penggambaran filem Ratu Kala Jengking di Johor Bahru berkata, dia menyedari perkara seumpama itu pasti akan menjadi perhatian apabila namanya melonjak dan semakin dikenali.

“Saya masih muda dan perjalanan karier pun baru bermula. Ditambah, kini karier lakonan saya sudah mula mendapat tempat dalam industri hiburan tanah air.

“Jadi, biarlah saya menggunakan peluang yang diperoleh ini dengan memberi fokus kepada karier seni terlebih dahulu berbanding soal peribadi,” katanya.

Pemilik nama sebenar Hazirah Qasdina Hazali itu berkata, dia juga mengharapkan pendiriannya dihormati semua pihak.

Katanya, dia ingin menimba banyak pengalaman dalam bidang lakonan lagi.

Menerusi drama Mr Grey, Eyra berganding dengan pelakon Fendy Bakry sebagai watak utama.

Malah, loghat Utara Eyra dalam drama itu berjaya menambat hati penonton drama itu.

Selain Eyra dan Fendy, barisan pelakon lain yang membintangi Mr Grey ialah Fauziah Datuk Ahmad Daud, Gambit Saifullah, Lisdawati, Shah Iskandar, Mardiana Alwi dan Kayda Roslan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 12:02 PM