Razak dan Sarimah dinikahkan di Masjid Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang. FOTO FALIQ LAJIM
Razak dan Sarimah dinikahkan di Masjid Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang. FOTO FALIQ LAJIM
Faliq Lajim


PERNIKAHAN duda enam anak menarik perhatian orang ramai pada Majlis Akad Nikah Perdana 2018 anjuran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Klang, Pelabuhan Klang, pagi tadi, hari ini.

Razak menyuapkan Sarimah dengan penuh kasih sayang ketika makan beradab. FOTO FALIQ LAJIM
Razak menyuapkan Sarimah dengan penuh kasih sayang ketika makan beradab. FOTO FALIQ LAJIM

A Razak Ismail, 47, yang juga seorang peniaga dinikahkan dengan pasangannya yang juga nenek kepada 10 cucu serta dua anak dalam majlis pernikahan beramai-ramai itu.

Mereka adalah antara 21 pasangan selamat dinikahkan pada program dijalankan di Masjid Kampung Raja Uda, di sini.

Razak berkata dia dipertemukan jodoh dengan isterinya, Sarimah Yusuf, 55, secara kebetulan ketika menyertai kelab mendaki pada 2015.

“Sejak itu, saya mengenali isteri. Kebetulan kami mempunyai hobi sama. Pada mulanya kami berkawan saja namun selepas hampir dua tahun hubungan menjadi rapat dan bertambah serius.

“Kami kemudian mengambil keputusan untuk berjumpa keluarga masing-masing dan seterusnya merancang untuk perkahwinan. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai,” katanya.

A Razak berharap hubungan bersama isteri akan kekal sehingga akhir hayat.

“Saya berharap kedua-dua pihak akan melalui susah senang bersama-sama memandangkan kami berdua mempunyai pengalaman masing-masing.

“Saya bercerai hidup, isteri pula bercerai mati. Kami berharap kawan serta saudara masing-masing dapat menerima kami sebagai ahli keluarga mereka yang baharu. Doakan kebahagiaan kami,” katanya.

Bagi Sarimah pula, dia bercadang mengajak suaminya menawan tujuh gunung tertinggi di Semenanjung atau dikenali ‘G7’.

“Kebetulan kami mempunyai minat sama. Saya pernah menawan Gunung Tahan dan adalah impian saya melengkapkan pendakian di tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia.

“Kami juga bercadang berbulan madu dengan menawan Gunung Kinabalu dalam masa terdekat. Insya-Allah, selepas saja saya berjaya menawan semua gunung ini, kami bercadang untuk menawan di gunung di luar negara pula,” katanya.

Sarimah mempunyai cucu berusia antara satu hingga 10 tahun.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama PAID Klang, Abd Malek Ghazali berkata, semua pasangan terbabit selamat dinikahkan pegawai pendaftar JAIS di hadapan saksi masing-masing.

Beliau berkata, majlis akad nikah beramai-ramai dibuat setiap tahun bagi memudahkan umat Islam yang mahu mendirikan rumah tangga dengan kos minimum.

“Pada majlis ini, pasangan pengantin hanya perlu membayar RM1,000 untuk kos perbelanjaan makanan tetamu, pelamin nikah dan bersanding. Selain itu, majlis turut mendapat bantuan sebanyak RM5,000 daripada bahagian pendaftar JAIS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 6:25 PM