MONAGHAN diheret keluar dari kokpit oleh polis bersenjata  selepas anak kapal mengesyaki dia mabuk. FOTO AFP
MONAGHAN diheret keluar dari kokpit oleh polis bersenjata selepas anak kapal mengesyaki dia mabuk. FOTO AFP
Daily Mail

London: Seorang juruterbang British Airways dituduh cuba menerbangkan pesawat yang dipenuhi penumpang dalam keadaan mabuk dengan kadar alkohol dalam badannya lebih empat kali daripada had dibenarkan.

Julian Monaghan, 49, diheret keluar dari kokpit oleh polis bersenjata dalam keadaan penuh drama selepas anak kapal bimbang dia mabuk dan menghubungi talian kecemasan sejurus sebelum pesawat mahu berlepas dari Lapangan Terbang Gatwick untuk penerbangan 12 jam ke Mauritius pada 18 Januari lalu.

Monaghan yang berpangkat pegawai pertama dan sudah lama bertugas dengan British Airways dikesan mabuk ketika masuk ke kokpit sebelum digari polis dan dibawa polis menyebabkan penerbangan terbabit tertunda dua jam sehingga jam 10.56 malam untuk membolehkan juruterbang lain mengambil alih.

Penumpang yang menyaksikan drama itu berkata: “Polis bergegas menaiki pesawat dan terus menuju ke kokpit. Pegawai pertama digari dan dibawa keluar.

“Kami menyaksikan dengan ternganga kerana begitu terkejut. Bayangkan apa yang mungkin berlaku (jika dia terus dibenarkan menerbangkan pesawat).”

Monaghan didakwa menaiki pesawat dengan alkohol dalam darahnya melebihi had dibenarkan iaitu 86 miligram bagi 100 mililiter darah. Had bagi juruterbang adalah 20 miligram alkohol.

Mahkamah Majistret menetapkan 6 Jun untuk sebutan kesnya.

Sementara itu, jurucakap British Airways berkata: “Kami memandang serius perkara ini dan akan terus membantu siasatan polis.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal kami sentiasa menjadi perkara paling penting untuk kami. Monaghan juga tidak lagi bertugas dengan syarikat kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 3:28 AM