MIRA sangat serasi mengacara Nona. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MIRA sangat serasi mengacara Nona. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON terkenal, Mira Filzah sekali lagi diberi tanggungjawab mengacarakan program, Nona di TV3 bagi tahun ketiga.

Mira, 27, atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman berkata, dia semakin selesa mengacara selepas dua tahun terbabit dalam program itu.

“Alhamdulillah, saya selesa mengacarakan program ini. Bagi saya, selama dua tahun ini ia berlangsung baik. Diakui pada awalnya sedikit kekok, tapi masuk tahun kedua saya sudah selesa.

“Saya berasa sangat serasi. Program sebegini buat saya nak belajar lebih lagi. Apabila menjadi pengacara berbentuk ilmiah, fakta dan banyak lagi, ia membuatkan saya nak tahu lebih banyak perkara dan lebih penting banyak membaca.

“Jadi, program sebegini membantu untuk perkembangan minda,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam perkembangan lain, Mira bersyukur dengan sambutan dan maklum balas diberikan penonton terhadap lakonannya dalam drama Adellea Sofea yang ditayangkan di slot Akasia, TV3 sekarang.

“Alhamdulillah, terima kasih pada semua yang menonton dan memberi sokongan. Walaupun ada yang geram dengan karektor saya dalam cerita ini, ia bermakna lakonan itu memberi kesan.

“Macam drama sebelum ini pun, saya cuba sehabis baik untuk menjayakan setiap watak diberikan. Saya anggap setiap karya itu mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya.

Dalam drama itu, Mira bergandingan dengan Ungku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 4:30 PM