Agensi

PESAWAT tentera Algeria terhempas dan terbakar di Boufarik, Algeria, hari ini, mengorbankan 257 orang, kebanyakannya kakitangan tentera dan anggota keluarga, kata pihak berkuasa.

Jurugambar AFP di tempat kejadian menyaksikan bangkai pesawat terbakar terhempas di padang berhampiran pangkalan udara di Boufarik, lokasi pesawat berlepas.

Ratusan ambulans dan berpuluh jentera bomba dengan bunyi bising siren bergegas ke tempat kejadian nahas sejauh 25 kilometer di barat daya Algiers.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, 247 penumpang dan 10 kru terbunuh tanpa menyebut jika ada mangsa terselamat.

Timbalan Menteri Pertahanan Jeneral Ahmed Gaid Salah melawat tempat kejadian dan mengarahkan siasatan terhadap punca nahas, kata kementerian.

Pesawat pengangkut Ilyushin II-76 dalam perjalanan ke Tindouf di barat daya Algeria. Anggota parti pemerintah FLN memberitahu stesen televisyen swasta, mangsa yang maut termasuk 26 anggota kumpulan pembebasan Polisario yang memperjuangkan kemerdekaan Sahara barat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 8:40 PM
ANGGOTA penyelamat kelihatan berhampiran pesawat tentera yang terhempas. FOTO AFP
ANGGOTA penyelamat kelihatan berhampiran pesawat tentera yang terhempas. FOTO AFP