Hannah buat semua urusan permit secara sah. FOTO Instagram
Hannah buat semua urusan permit secara sah. FOTO Instagram
Norhayati Nordin


PELAKON baru kelahiran Singapura yang semakin berjaya membina nama dan karier seni di negara ini, Hannah Delisha, 22, memberitahu dia memiliki permit kerja yang sah di Malaysia.

Hannah atau nama sebenar Hannah Adlina Blackburne ketika ditemui berkata semua urusan permit untuk dia bekerja di negara ini diuruskan syarikat pengurusan bakat yang dinaunginya.

"Apa boleh saya kata, setakat ini saya berurusan di Malaysia secara sah mengikut permit bekerja ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

"Segala urusan permit ini diuruskan oleh pihak pengurusan bakat saya dengan syarikat yang mahukan khidmat kerjasama untuk produk mereka," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Hannah hadir pada majlis sidang media drama 'portal' terbaru lakonannya, 3 Gadis Manis musim kedua untuk Astro Gempak.

Selain isu permit, Hannah juga sekali lagi menafikan gosip mengenai pihak pengurusannya meletak harga tinggi untuk tawaran berlakon buatnya.

"Perkara isu bayaran ini setahu saya sudah lama diselesaikan oleh pihak pengurusan dengan syarikat produksi terbabit.

"Rasanya perkara itu tidak perlu ditimbulkan kerana kami masih lagi akan bekerjasama untuk satu projek lakonan terbaru," katanya.

Hannah yang baru setahun membina nama dan karier seni di negara ini cukup dikenali menerusi drama Mencintaimu Mr Photografer lakonannya bersama pelakon Syafiq Kyle, tahun lalu

Terdahulu, tersiar berita mengenai pelakon baru dari Singapura, Nadiyah Shahab yang dilarang memasuki Malaysia kerana tidak memiliki permit bekerja dek kerana dia dikenali sebagai pelakon.

Nadiyah ditahan malam tadi di imigresen Johor sejurus tiba dari Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 9:00 PM