Mohd Alizam  melakukan pembenihan bersama kakitangan Jabatan Perikanan.
Mohd Alizam melakukan pembenihan bersama kakitangan Jabatan Perikanan.
    IKAN koi asli Jepun yang dijual   Mohd Alizam.
IKAN koi asli Jepun yang dijual Mohd Alizam.
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Walaupun pernah mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit berikutan 200 ikan koi peliharaan mati, ia langsung tidak mematahkan semangat seorang peniaga untuk terus menjual ikan hiasan itu.

Malah, Mohd Alizam Ali, 44, berkata, dia akan terus berkecimpung dalam bidang itu selepas mempeloporinya lima tahun lalu dan mula membiak ikan koi di rumahnya di Kampung Padang Midin di sini, setahun lalu.

Katanya, dengan cara itu ia memudahkan dia memperoleh stok ikan dan buat masa ini dia mempunyai 100 ikan koi asli Jepun dari jenis kohaku, showa, sanke, tanhco, hiutsuri, benegoi dan karahci platinun ogon.

Selain itu, dia memiliki 7,000 ikan koi Malaysia yang diternak dalam sangkar di Sungai Terengganu.

“Mulanya, saya memelihara ikan koi kerana minat disebabkan suka warnanya, tetapi lama-kelamaan minat, bertukar menjadi pendapatan utama selepas berjaya menjualnya.

“Usaha ini berbaloi kerana mendapat sambutan walaupun harga ikan koi asli Jepun begitu mahal, untuk saiz enam inci, ia berharga RM200, manakala yang panjang 75 sentimeter pula bernilai RM13,000.

“Namun harga bergantung kepada corak dan jenis ikan koi itu sendiri,” katanya yang memberitahu ikan koi asli memiliki sijil kelahiran.

Mohd Alizam berkata, bagi koi bukan asli atau lebih dikenali sebagai Koi Malaysia, ia dijual lebih murah, malah ada semurah RM10 untuk tiga ekor bersaiz tiga inci.

Menurutnya, bekalan ikan asli diperoleh dari pembekal di ibu negara yang mengimportnya dari Jepun, namun dia kini berusaha membiaknya untuk tujuan komersial disebabkan permintaan menggalakkan.

Beliau berkata, sudah dua kali dia melakukan pembiakan sejak tahun lalu, namun keputusannya belum memuaskan dan akan terus berusaha dengan tunjuk ajar penyelidik Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar, Jelebu, Negeri Sembilan, Muhamad Zudaidy Jaapar berkata, industri ikan hiasan terutama ikan koi mengalami masalah berikutan penyakit Koi Herpies Virus (KHV).

“Kami berusaha mencari jalan bagi menangani masalah berkenaan berikutan satu masa dulu, Malaysia antara pengeluar ikan hiasan yang mampu dieksport ke pasaran Eropah.

“Selain itu, kami juga giat membantu pengusaha ikan hiasan dalam pembenihan bagi menjamin stok ikan berterusan selain baka yang bebas penyakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 6:57 AM