Oleh Norsharuddin Sapian


Program Aqua Matrix 2014 anjuran bersama Jabatan Perikanan Negeri ­Perak dan Syarikat Preety Aquatics and Pets menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai bila­ngan peserta paling ramai dalam pertandingan ikan pelaga.

Program itu disertai seramai 1,002 peserta sekali gus berjaya memadamkan rekod yang pernah dicatatkan sebelum ini, iaitu 900 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerajaan negeri berasa cukup bangga di atas pengiktirafan yang diberikan selain melakar sejarah baru bagi negeri ini.

Beliau berkata, Perak mengeluarkan 52,285,149 ekor ikan hiasan dengan ang­garan nilai RM70.22 juta pada tahun 2013 berbanding 108,014,151 ekor dengan ang­garan nilai RM237.50 juta pada tahun 2012.

"Walaupun industri ikan hiasan di negeri ini mengalami penurunan 51.59 peratus pada 2012 dan 2013, ia masih lagi berpotensi dan mendatangkan pendapatan lumayan kepada penternak.

"Pengurangan jumlah itu mungkin disebabkan sekatan daripada pihak negara Kesatuan Eropah (EU) yang mengharamkan eksport ikan emas dan koi dari negara ini sekali gus menyebabkan ruang pasaran untuk eksport ikan hiasan menjadi kecil," katanya.

Nolee Ashilin merasmikan program Aqua Matrix 2014 di Kinta City, Ipoh, baru-baru ini.

Turut hadir pada program itu, Pengarah Perikanan Negeri Perak Dr Bah Piyan Tan, Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan Malaysia Dr Mazuki Hashim dan Pengurus Pretty Aquatic and Pets Ng Chung Wai.

Sempena Aqua Matrix 2014, pelbagai acara menarik diadakan seperti pertandi­ngan mewarna bagi kanak-kanak berumur 7 hingga 9 tahun dan 10 hingga 12 tahun, pameran ikan larangan Negeri Perak, jualan ikan hiasan serta 'fish scooping' yang di­adaptasi daripada permainan di Jepun.

"Bidang akuakultur sememangnya mempunyai nilai pelancongan yang tersendiri. Justeru program seperti itu dapat membantu kerajaan negeri dalam menarik lebih ramai pelancong.

"Selain dapat memper­tingkatkan jumlah pelancong, kerajaan negeri turut berazam untuk membantu mempertingkatkan lagi pendapatan daripada industri ikan hiasan," katanya.

Majlis penutupan program yang berlangsung selama tiga hari itu disempurnakan Ketua Cawangan Kesihatan Awam dan Kesihatan Ikan, Jabatan Perikanan Malaysia, Ahmad Hazizi Aziz.

Sementara itu, Dr Bah berkata, program itu diadakan hasil kerjasama antara Jabatan Perikanan Negeri Perak dengan Syarikat Preety Aquatics and Pets.

"Ia bertujuan mempromosikan ikan pelaga (betta splendens) sebagai antara ikan hiasan yang mempunyai keunikannya tersendiri sama ada dari segi saiz, warna dan bentuknya," katanya.

Menurutnya, keunikan ikan betta menarik minat pengemar ikan hiasan untuk menjadikannya sebagai ikan hiasan peliharaan dan diternak secara komersial.

"Perak antara negeri utama industri ikan hiasan yang sedang berkembang pesat di negara ini.

"Malah negeri ini juga menjadi pusat ternakan ikan hiasan seperti emas dan koi selain memiliki sumber air yang banyak termasuk bekas lombong terbiar," katanya.

Daerah Kinta saja mempunyai lebih 200 penternak ikan hiasan terutama di sekitar Gopeng dan Tronoh.

Pembangunan akuakultur ikan hiasan bagi sepanjang tahun 2013 dapat menghasilkan sebanyak 53 juta ekor pelbagai spesies yang bernilai RM69 juta.

"Bagi membantu perkembangan industri ikan hiasan negeri Perak, Pusat Ikan Hiasan milik Jabatan Perikanan Malaysia di Enggor, Kuala Kangsar mengeluarkan benih ikan hiasan seperti ikan koi, molly dan barb," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:00 AM