KIN Mann (kiri) dan Wai Hin ketika Majlis Pelancaran KR7 Residences, Puchong baru-baru ini.
KIN Mann (kiri) dan Wai Hin ketika Majlis Pelancaran KR7 Residences, Puchong baru-baru ini.
HM Digital

MASTERON melancarkan sebuah projek pangsapuri servis terbaharu di Taman Mas Puchong iaitu KR7 Residences di Galeri Jualan Masteron di Koi Prima, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Projek perumahan ini adalah siri ikonik Masteron 'Koi' yang ketujuh menyusuli kejayaan siri sebelum ini termasuk Koi Kinrara, Koi Tropika, Koi Boulevard, Koi Legian, Koi Prima dan Koi Suites.

Majlis dihadiri Pengarah Eksekutif Masteron Group of Companies, Datuk Choy Wai Hin dan Pengarah Masteron Group of Companies, Choy Kin Mann.

Pada masa sama, majlis dimeriahkan dengan kehadiran tetamu korporat, ejen dan wakil rakan niaga serta ahli media yang turut dibawa melawat rumah contoh.

Menerusi Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM208 juta, KR7 adalah projek perumahan serba lengkap dan berketumpatan rendah dengan jumlah keseluruhan 484 unit yang tersedia di dua blok.

Selain hanya lapan hingga sepuluh unit pada setiap aras dan menampilkan susun atur dua dan tiga bilik tidur. Fasa pertama (Menara A), dijangka siap pada 2025.

Apabila siap kelak, KR7 bakal memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap rumah dilengkapi dengan ciri-ciri 'future-proof' seperti ruang rumah yang senang untuk diubah sebagai ruang pejabat di rumah, ruang dapur sepenuh masa dan tempat beristirahat yang tenang, selamat dan selesa.

Melalui penawaran pelbagai pengalaman holistik dengan ruang rumah yang saling melengkapi dan berintegrasi, KR7 menggabungkan teras rekaan serta konsep berwawasan, berlandaskan komitmen Masteron terhadap inovasi dan kecemerlangan untuk meningkatkan lagi taraf hidup penghuninya.

Kin Mann berkata, KR7 bersedia untuk menjadi projek perumahan yang dapat memenuhi keperluan hari ini yang sentiasa berubah terutama dalam kalangan generasi muda.

RUMAH dilengkapi dengan sistem rumah pintar.
RUMAH dilengkapi dengan sistem rumah pintar.

"Ia adalah sebahagian daripada pendekatan berwawasan kami dalam menghasilkan rekaan dan fungsi.

"Di samping itu, seperti yang diketahui umum, setiap takrifan 'kediaman' sudah berubah dengan drastik sepanjang dua tahun lalu, disebabkan pandemik, sekatan pergerakan dan keadaan hidup yang terhasil yang mana elemen ini turut diambil kira dalam pembangunan KR7," katanya

Antara kemudahan disediakan adalah ruang bekerja, bersenam dan bersosial yang merangkumi gimnasium, panggung terbuka, taman permainan kanak-kanak, kolam renang, bilik stim serta sauna, pod kediaman dan ruang makan persendirian.

Untuk memastikan kualiti yang terbaik bagi ruang dalaman dan ruang awam KR7, Masteron bekerjasama dengan firma kelengkapan dalaman terkemuka, Federal International Holdings Berhad (FIHB) yang memiliki rekod cemerlang dalam menghasilkan rekaan bagi beberapa hotel mewah seperti Ritz Carlton dan St Regis.

Walaupun dengan harga mampu milik, setiap unit KR7 bakal dilengkapi dengan ciri-ciri menarik yang lazimnya hanya ada di kediaman mewah termasuk sistem rumah pintar, dengan kawalan wayarles membolehkan penghuni mengawal lampu siling, televisyen, kipas dan penyaman udara dengan telefon pintar.

Masteron turut melabur dalam sistem keselamatan dengan teknologi terkini, tanpa menggunakan kunci tradisional iaitu satu gabungan sistem kunci pintar dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan seperti akses cap jari.

KR7 juga dilengkapi dengan sistem penghantaran makanan tanpa kontak dan juga 'Shield System', sebuah sistem yang boleh mengubah dewan serba guna kepada bilik berasingan pada masa yang diperlukan.

Kin Mann berkata, segala aspek KR7 yang unik digabungkan dalam pelan induk Masteron adalah komitmen pihaknya terhadap inovasi bagi meningkatkan taraf hidup penghuni KR7.

"Kami meneliti setiap aspek kehidupan moden bagi memenuhi keperluan yang sentiasa berubah dan keselamatan di masa hadapan," katanya.

Mengambil kira aspek lokasi, penempatan KR7 yang strategik di persimpangan Petaling Jaya, Sepang dan Kuala Langat membolehkan perjalanan lebih lancar di kawasan Lembah Klang. Ia juga adalah sebuah oasis yang terletak di tengah persekitaran yang hijau dengan suasana yang menyegarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 6:41 AM