Tadika yang disimbah cat oleh beberapa lelaki yang memecah masuk ke tadika itu. FOTO ihsan Pasti
Tadika yang disimbah cat oleh beberapa lelaki yang memecah masuk ke tadika itu. FOTO ihsan Pasti
Shamsul Munir Safini

Permatang Pauh: Kerana gagal mencuri tong gas serta makanan kering di tadika, beberapa lelaki merosakkan bangunan berkenaan dengan menyimbah cat serta menulis perkataan lucah pada pintu premis itu di Permatang Pasir, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian antara 12 tengah malam sehingga 7 pagi itu, sekumpulan lelaki tidak bertanggungjawab memecah masuk kawasan Pasti berkenaan sebelum cuba mencuri tong gas dan makanan kering di situ namun gagal.

Ahli Jawatankuasa tadika berkenaan, Radzi Harun berkata, berang kerana gagal mencuri, mereka bertindak menyimbah cat serta menconteng dinding tadika berkenaan.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu kawasan itu sering dipecah masuk mereka tidak bertanggungjawab yang melarikan tong gas serta makanan kering.

"Namun pihak pengurusan sudah tidak memasak di tadika berkenaan dan meminta kanak-kanak yang datang ke situ membawa bekal masing-masing.

"Sejak daripada itu, mereka sudah tidak dapat mencuri tong gas serta makanan di situ yang dipercayai menjadi punca mereka marah dan bertindak melakukan khianat di sini," katanya.

Radzi berkata, pihaknya marah dengan kejadian berkenaan namun berharap mereka diberi hidayah untuk berubah.

Menurutnya, pihaknya hanya menyedari kejadian itu semalam, selepas guru yang mengajar di situ menghubunginya memberitahu kawasan berkenaan disimbah cat hijau serta diconteng dengan perkataan lucah.

Katanya, susulan itu satu laporan dibuat di balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 6:32 PM