SYUKUR banyak dapat tawaran berlakon.
SYUKUR banyak dapat tawaran berlakon.
Oleh Michelle Gun


Siapa sangka selain berlakon dan menyanyi, pendatang baru industri seni Erwin Dawson turut memiliki kebolehan meniru suara.

Pelakon kelahiran Singapura berusia 26 tahun itu berkata, bakat unik terbabit disedarinya ketika di sekolah menengah.

“Kebolehan itu disedari ketika membuat lawak dan tidak sangka saya boleh meniru pelbagai suara watak drama dan filem seperti Arnold Schwarzenegger.

“Watak kartun pula seperti Spongebob Squarepants dan karakter dalam animasi Doraemon,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Bujeng itu, dia sedia menyumbangkan bakatnya sekiranya ada pihak menawarkanya untuk membuat suara latar.

“Sebenarnya tidak ramai mengetahui mengenai kebolehan dimiliki ini dan merancang untuk berkongsi video di laman sosial apabila mempunyai masa lapang nanti,” katanya.

Empat tahun bergelar artis di Singapura, Erwin cukup bertuah kerana hasrat untuk menempa nama dalam industri seni di sini terkabul.

“Sudah lama keluarga dan rakan meminta saya untuk mencuba nasib di Malaysia.

“Peluang itu tiba apabila saya ditawarkan watak dalam dalam filem Cinta Kura-Kura terbitan KRU Studios,” katanya.

Kata Erwin, lakonan dalam filem komedi itu membuka pintu kepadanya untuk memasuki bidang seni di negara ini apabila ditawarkan untuk berlakon dalam beberapa karya lain seperti Pesona Kasih, Warna Cinta Impian dan drama Bencinta.

“Selesai Bencinta, saya terus sibuk dengan penggambaran drama bersiri Dunia Generasi Baru dan kemudian ke lokasi drama baru, Syurga Nur terbitan JS Pictures yang disiarkan pada Ramadan ini,” katanya.

Nampaknya rezeki Erwin belum putus apabila dia bakal beraksi dalam drama bersiri baru arahan Michael Ang yang diberi judul Jodoh Sebelah Pintu.

“Penggambaran baru saja bermula dan dalam drama itu, saya berganding dengan beberapa pelakon popular seperti Kamal Adli dan Emma Maembong,” katanya.

Mahu menetap di Malaysia

Erwin juga berhasrat mahu terus menetap di Malaysia sekiranya rezeki dalam bidang seni terus menyebelahinya.

“Sudah hampir setahun saya berada di Kuala Lumpur dan rasa seronok tinggal di sini. Peluang di sini banyak memberi pengalaman untuk mempertingkatkan kemahiran dalam lakonan.

“Saya masih ingat, ketika baru memasuki industri seni Singapura, sering kali ada pihak mengatakan lakonan saya seperti kayu dan hanya mengharapkan paras rupa,” katanya.

Tidak menolak kemungkinan wajahnya yang komersial disebabkan berdarah campuran Melayu dan New Zealand antara sebab dia senang mendapat tawaran berlakon.

“Saya anggap semua ini sebagai rezeki dan sebenarnya tidak pernah berasakan diri tampan. Ramai tidak tahu saya pernah gemuk ketika zaman kanak-kanak namun tiba-tiba kurus ketika berusia 15 tahun,” katanya.

Mengenai perkembangan single sulungnya, Bujeng, Erwin berkata, lirik lagu itu dihasilkan penyanyi Atrez dan masih menunggu Warner Music Malaysia untuk mempromosikannya di pasaran.

Katanya, minatnya sebenar dalam bidang nyanyian namun rezeki lebih kepada lakonan.

“Sebagai permulaan, saya merancang untuk hanya mengeluarkan single baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 10:47 AM