REKOD Adi yang dilakukan pada 2011 belum  dipecahkan mana-mana atlet. FOTO Yazit Razali
REKOD Adi yang dilakukan pada 2011 belum dipecahkan mana-mana atlet. FOTO Yazit Razali
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Atlet lontar peluru kebangsaan, Adi Aliffudin Hussin mengakui kecewa dengan perkembangan barisan pelapis skuad negara dalam sukan itu kerana sehingga kini rekod miliknya yang dilakukan pada 2011 masih belum dapat dipecahkan mana-mana atlet.

Malah, atlet kelahiran Marang yang kini berkhidmat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak turut mengakui kekurangan kejohanan yang dianjurkan sama ada dalam mahupun luar negara menyebabkan atlet yang bergiat dalam sukan itu gagal berdaya saing.

“Saya lihat atlet pelapis sukan itu di negara ini ranking nombor dua sekarang ini adalah Ziyad Zulkefli dan ranking nombor tiga sekarang jaraknya adalah jauh sedikit sebab jika diukur perbezaannya adalah sebanyak dua meter lebih berbanding ranking nombor dua.

“Jika dibiarkan tanpa sebarang pencarian bakat baharu secara berterusan dan bersungguh-sungguh, saya bimbang sukan itu terus malap dan gagal menemui atlet yang berkualiti dan hebat.

“Oleh itu dengan pengalaman dan kemampuan yang ada, saya berhasrat untuk mencari lebih ramai lagi barisan pelapis di seluruh pelosok negeri ini bagi memastikan ada atlet terbaik yang mampu ganti tempat saya dan sekali gus berjaya memecah rekod saya sendiri selepas lapan tahun berlalu,” kata Adi Aliffudin ketika ditemui di ruang pameran Terengganu Hanelang di Ekspo Terengganu 2018 semalam.

Berdasarkan rekod, atlet berusia 30 tahun itu mencipta rekod kebangsaan dengan catatan 17.53 meter yang dilakukan pada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia dan sehingga kini rekod miliknya itu belum dapat dileburkan oleh atlet pelapis negara.

Mengulas lanjut, pemenang pingat perak Sukan SEA tiga tahun berturut-turut mulai 2009 dan pemenang lima pingat emas Sukan Universiti ASEAN sejak 2005 itu tanpa berselindung berhasrat untuk bersara sekiranya barisan pelapis mampu menggalas tugas negara dalam sukan itu terutama pada temasya Sukan SEA.

“Pernah terlintas di fikiran untuk bersara dan memberi fokus untuk mengasah bakat baru, tapi dengan perkembangan terkini itu saya belum memuktamadkan untuk bersara sebaliknya terus beraksi dalam sukan itu,” kata Adi Aliffudin yang mula mewakili negara ketika berusia 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 5:50 AM