Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli perniagaan kerana dipercayai menerima wang berjumlah RM19 juta kononnya untuk menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Difahamkan, suspek yang berusia 37 tahun itu dikatakan menerima wang berkenaan daripada syarikat pembinaan utama projek terbabit selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.

Sumber berkata, pihak syarikat berkenaan membayar wang berjumlah RM19 juta itu secara berperingkat sekitar bulan Julai dan Ogos tahun lalu.

"SPRM menjalankan siasatan terhadap kajian projek mega di Pulau Pinang itu dan suspek berkemungkinan meyakinkan syarikat pembinaan utama itu bahawa dia mampu menutup dan menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.

"Pembayaran sebanyak RM19 juta sudah dilakukan dengan pembayaran pertama berjumlah RM2 juta pada Julai tahun lalu di rumah suspek.

"Bayaran kedua iaitu sebanyak RM15 juta pula dilakukan kepada sebuah syarikat pada bulan sama dan pembayaran ketiga dan terakhir pada Ogos tahun lalu," katanya.

Sumber berkata, suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 3.48 petang tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.

Suspek akan dihadapkan ke mahkamah Putrajaya untuk permohonan reman esok.

Projek mega terowong itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 7:32 PM