Siti A’isyah Sukaimi


MAHKAMAH Majistret di Putrajaya, hari ini, membebaskan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang direman bagi membantu siasatan kes pembayaran wang berjumlah RM19 juta untuk menutup siasatan projek mega terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Majistret Lee Hong Shi membebaskan lelaki berusia 37 tahun itu dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin.

Lelaki itu sebelum ini direman enam hari bermula 28 Februari hingga 5 Mac lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan seterusnya disambung reman lima hari lagi bermula 6 Mac lalu.

Dia ditahan pada 3.48 petang, 27 Februari lalu ketika hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Terdahulu, pada prosiding berkenaan, SPRM memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin terhadap lelaki terbabit.

Difahamkan, lelaki itu menerima wang daripada syarikat pembinaan utama projek berkenaan selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.

Sumber berkata, pihak syarikat membayar wang berjumlah RM19 juta secara berperingkat sekitar Julai dan Ogos tahun lalu.

Pembayaran pertama berjumlah RM2 juta dikatakan dibuat pada Julai tahun lalu di rumah suspek, manakala bayaran kedua iaitu sebanyak RM15 juta pula dilakukan kepada sebuah syarikat pada bulan sama dan pembayaran ketiga serta terakhir pada Ogos tahun lalu.

Projek mega terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion itu mencetuskan pelbagai kontroversi termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Berita berkaitan:

Datuk Seri direman [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 2:06 PM
AHLI perniagaan bergelar Datuk Seri dibebaskan dengan jaminan di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AHLI perniagaan bergelar Datuk Seri dibebaskan dengan jaminan di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah