Mahaizura Abd Malik


LUAHAN isi hati dan harapan seorang bapa, Jamarulnizam Ibrahim, 39, yang tidak pernah mengenal erti putus asa membesarkan anaknya, Adriana Tasnim, 5, yang menghidap autisme dizahirkannya dalam lagu khas.

Juruteknik komputer sekolah rendah itu berkata, lagu berjudul Tasnim yang dimuat naik di YouTube itu dihasilkan sendiri sebagai tanda kasih terhadap anak sulungnya itu selepas dikesan mengalami masalah autisme sejak usianya setahun lebih.

"Siapa yang tidak sedih apabila anak mengalami autisme tetapi sebagai bapa, saya positif dan percaya apa yang berlaku ini ada hikmahnya dan yakin ada penawar untuk anak istimewa ini.

"Lagu ini saya cipta khusus untuk memberi semangat kepada Tasnim, kami sekeluarga serta ibu bapa senasib yang mempunyai anak autisme supaya jangan berputus asa.

"Apabila dia dewasa dan sudah memahami kelak, lagu ini akan menjadi bukti bahawa kami tidak pernah meninggalkan dia keseorangan berjuang dengan ujian ini," katanya ketika dihubunginya di rumahnya di Langkap, Perak, kelmarin.

Menurutnya, ilham menghasilkan lagu itu tercetus secara kebetulan berikutan dia gemar menghabiskan masa lapang dengan bermain gitar sambil ditemani Tasnim.

"Setiap kali saya memetik gitar, Tasnim pasti akan datang dekat dengan saya kerana dia juga sukakan muzik.

"Pada mulanya hanya sekadar luahan perasaan kepada Tasnim, tak sangka lama-kelamaan timbul idea mencipta lagu ini," katanya.

Jamarulnizam berkata, dia mengambil masa lapan bulan menyiapkan keseluruhan proses pembikinan lagu dan video Tasnim dengan hanya menggunakan kemahiran serta peralatan rakaman sendiri.

"Lirik serta muzik lagu ini saya olah dan mainkan sendiri menggunakan alat muzik dan peralatan rakaman sendiri kerana kos rakaman di luar mahal.

"Saya juga meminta bantuan seorang rakan dikenali sebagai Asyraf untuk menyanyikannya dan memuat naik di Youtube, akhir bulan lalu.

"Sekiranya ada yang berminat untuk komersilkan lagu ini, saya terima dengan senang hati kerana dapat juga menampung kos untuk membuat terapi lebih baik kepada Tasnim," katanya.

Bercerita lanjut mengenai perkembangan terbaru anaknya, Jamarulnizam berkata, Tasnim hanya menjalani rawatan terapi cara kerja di Klinik Kesihatan Langkap sebulan sekali dan terapi pertuturan tiga bulan sekali di Hospital Teluk Intan.

"Buat masa ini, Tasnim mendapat pendedahan Pra Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Seri Langkap.

"Di rumah selain bantuan muzik, kami sekeluarga turut berusaha mengajar Tasnim melakukan aktiviti mudah seperti bermain dengan cara betul untuk mendapatkan tumpuannya.

"Saya memohon rakyat Malaysia mendoakan supaya ada penawar untuk merawat autisme dan semoga Tasnim membesar seperti kanak-kanak lain," katanya.

Lirik lagu Tasnim

Tasnim anak abah sayang

Kepada mu abah curah kasih

Tasnim anak abah sayang

Tasnim anak istimewa

Tasnim sendiri gembira

Tasnim belum mampu bicara

Janganlah hatimu sedih

Janganlah jiwamu resah

Ibu abah selalu mendoakan

Moga suatu masa

Nanti suatu ketika

Insya-Allah ada penawarnya

Bangunlah anak ku

Sinarnya masih ada

Senyumlah sayangku

Hikmah-Nya pasti ada

Janganlah hatimu sedih

Janganlah jiwamu resah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 10:48 PM
JAMARULNIZAM (kiri) bersama Adriana Tasnim. FOTO ihsan Jamarulnizam Ibrahim
JAMARULNIZAM (kiri) bersama Adriana Tasnim. FOTO ihsan Jamarulnizam Ibrahim