Yuna turut melawat Mohd Radzi di hospital. FOTO ihsan Tasnim
Yuna turut melawat Mohd Radzi di hospital. FOTO ihsan Tasnim

 Mazizul Dani

[email protected]

 

 

“SAYA terkejut kerana ada segelintir yang berikan komen negatif ketika keluarga kami sedang ditimpa kesusahan, tetapi bagi saya itu lumrah media sosial.”

Demikian luahan Tasnim Mohd Radzi, 25, selepas ayahnya diserang sakit jantung di Amerika Syarikat dan memerlukan bantuan kewangan.

Ayahnya, Mohd Radzi Abd Hadi, 56, jatuh sakit di Los Angeles, ketika dalam perjalanan ke Phoenix, Arizona untuk melawat keluarga anak sulungnya.

Tasnim yang juga kakitangan awam di Kedah berkata, ini kali pertama ayah dan ibunya ke negara itu kerana mahu melawat keluarga kakaknya yang berada di perantauan.

“Niat kami hanya untuk tolong ayah, dan meminta bantuan rakan, saudara mara yang mungkin kenal kami sekeluarga, atau orang ramai yang memahami situasi kami yang mahu menolong.

 “Kami tak minta ditimpa musibah ketika melawat kakak di luar negara, Saya harap orang ramai dapat memahami dan terbuka hati untuk berikan bantuan. Kalau tidak, doakan yang baik-baik untuk kesihatan ayah sudah cukup,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ayahnya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Dignity Health-California Hospital Medical Center selama lima hari sebelum dibenarkan keluar pada 17 Disember lalu.

Susulan itu, mereka memerlukan RM1 juta ringgit untuk melunaskan bil rawatan kerana setakat ini, bil yang dikenakan berjumlah RM800,000 tidak termasuk bil pengurusan doktor.

Mereka sekeluarga kemudian berusaha mencari dana termasuk menerusi laman gofundme.com yang setakat ini berjaya mengumpul hampir RM17,000.

"Kami mempunyai insurans perjalanan yang menampung satu pertiga daripada kos rawatan, tetapi pihak insurans memberitahu yang kami perlu mendahulukan wang sebelum membuat tuntutan kemudian.

“Memandangkan keluarga kami memang tidak berkemampuan kami bercadang untuk berbincang dengan pihak hospital bagi mendapatkan pengurangan mengikut kepada hasil kutipan simpanan keluarga dan bantuan daripda kerajaan negeri Kedah (majikan ayahnya),” katanya.

Mohd Radzi yang pertama kali diserang sakit jantung kini semakin pulih dan sedang berehat di rumah anaknya di Phoenix, Arizona sebelum dijangka berlepas pulang ke Alor Setar pada minggu pertama Januri selepas keadaannya mengizinkan.

Musibah menimpa Tasnim sekeluarga turut mendapat perhatian penyanyi antarabangsa Yuna selepas rakan Tasnim memberitahu penyanyi itu melalui Instagram.

“Sebenarnya Yuna bantu dari hari kedua ayah di hospital selepas kawan saya menghantar mesej peribadi kepada akaun miliknya. Beliau juga sudi meluangkan masa untuk melawat dan sehingga hari ini masih membantu keluarga kami.

“Yuna ialah seorang artis yg baik hati dan pemurah. Terima kasih untuk semuanya,” katanya.

Anda boleh membantu keluarga ini dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 12122020088470 milik Tasnim Mohd Radzi atau akaun Maybank Abdul Rahimi Abdul Rahman 162487109218.

Maklumat lain boleh diakses menerusi laman web www.gofundme.com/urgent-md-radzi-heart-failure-fund

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 12:51 AM