Siraj Mohd Zaini

Klang: Seorang doktor pelatih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, semalam atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen jelik melalui akaun laman sosial Facebook miliknya membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Disember dua tahun lalu.

Tertuduh, Dr Mohd Faiz Mohd Yusop, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain jam 6 petang pada 16 Disember 2016.

Komen itu kemudian dibaca pada tarikh sama jam 10.45 malam di sebuah restoran, Jalan Permai 1A, Taman Kota Pendamar, Pelabuhan Klang.

Sehubungan itu, dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MOHD Faiz  (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen jelik membabitkan Yang di-Pertuan Agong.
MOHD Faiz (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen jelik membabitkan Yang di-Pertuan Agong.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya yang mengendalikan kes memohon agar tertuduh diikat jamin RM10,000.

Bagaimanapun, Dr Mohd Faiz yang diwakili peguam Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa memohon agar wang jaminan berkenaan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan abang tertuduh hanya mampu mengumpul wang sebanyak itu saja.

Tasnim membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 15 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 9:20 AM