WANY Hasrita. FOTO Amir Naufal Photography
WANY Hasrita. FOTO Amir Naufal Photography
Sudirman Mohd Tahir

Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) tinggal lima hari lagi. Individu yang paling berdebar sudah pasti penyanyi yang bakal berentap.

Bagi yang pernah melangkah ke pentas berprestij itu, pengalaman sedia ada membuatkan mereka lebih 'cool' dan bersahaja.

Namun, bagi penyanyi yang pertama kali layak ke anugerah yang mengiktiraf komposer dan penulis lirik itu, banyak perkara bermain di fikiran.

Tidak terkecuali, penyanyi Wany Hasrita yang bakal mempersembahkan lagu Menahan Rindu.

Bagi Wany atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 26, dia akui tekanan mulai dirasai sejak peringkat separuh akhir lagu.

"Kelab peminat saya meletakkan harapan tinggi. Sejak peringkat separuh akhir lagi mereka hadir memberikan sokongan. Ini membuatkan saya mula rasa tekanan. Saya bimbang jika menghampakan mereka.

“Tambahan pula ketika itu saya mengalami masalah suara akibat kesihatan. Namun, rezeki berpihak kepada lagu ini. Jadi, apabila layak ke AJL mereka mengharapkan saya menang.

“Apa boleh dikatakan, saya tidak mahu janjikan bulan dan bintang. Cuma, saya cuba untuk memberikan persembahan terbaik. Diakui saya tidak ada kekuatan dari segi vokal, tetapi kemerduan ada,” katanya.

Wany yang turut bersaing dengan rakan seangkatan lain seperti Ara Johari, Khai Bahar dan Haqiem Rusli menganggap diri sendiri sebagai pesaing terbesar.

Malah, Wany tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana setiap lagu memiliki keunikan tersendiri.

“Dari dahulu sampai sekarang, saya selalu meletakkan diri sendiri sebagai pesaing terutama dalam soal macam mana nak menghilangkan rasa gementar. Siapa pesaing terdekat, saya tidak terfikir langsung.

“Bagi saya, setiap lagu dan penyanyi yang bertanding layak untuk menang. Jadi, tidak perlu berasa ralat sekiranya tidak muncul sebagai pemenang. Ini kerana berada di pentas akhir AJL adalah pencapaian terbaik dalam kerjaya seorang penyanyi.

“Pada AJL ini, saya hanya fikir nak buat yang terbaik. Saya mahu jadikan AJL sebagai pentas untuk mengutip pengalaman. Saya ingin buktikan suara kampung macam saya pun boleh masuk AJL,” katanya.

WANY Hasrita. FOTO Amir Naufal Photography
WANY Hasrita. FOTO Amir Naufal Photography

Percaya rezeki

Wany yang muncul dengan single kedua, Rintihan Rindu bersetuju dengan tanggapan segelintir pihak bahawa finalis AJL berada pada standard berbeza.

Bagaimanapun, Wany tetap percaya segalanya berbalik kepada rezeki.

“Ada juga lagu berkualiti tetapi tidak menyertai Muzik Muzik. Ia terpulang kepada komposer berkenaan. Secara peribadi, saya okey saja dan merebut setiap peluang diberikan. Sebagai penyanyi baru, saya perlu belajar banyak perkara lagi.

“Jika ada beranggapan masuk AJL meletakkan seseorang penyanyi di kedudukan berbeza, bagi saya ada betulnya. Namun, saya tetap percaya pada rezeki. Kalau selepas ini kerjaya semakin meningkat, saya sangat bersyukur. Jika sebaliknya, saya perlu berusaha lagi.

“Saya bukanlah penyanyi yang bagus dan memiliki suara sedap tetapi disebabkan rezeki serta kekuatan lagu ini, saya diterima peminat. Bukan bermakna saya boleh selesa, sebaliknya setiap hari kena belajar untuk perbaiki diri,” katanya.

Perkembangan lain, Wany baru saja selesai merakamkan single irama Malaysia, Ewah Ewah hasil ciptaan Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.

“Alhamdulillah, impian saya untuk menghasilkan lagu irama Malaysia tercapai. Sudah lama saya menunggu peluang ini. Apatah lagi dapat bekerjasama dengan Pak Ngah, membuatkan saya sangat terharu.

“Sudah lama kita tidak dengar lagu berentak ini, jadi saya harap dapat mengembalikan kemeriahan muzik tradisional. Mungkin saya tidak sebagus penyanyi irama Malaysia lain namun, ini percubaan untuk saya mengetengahkan bakat yang ada,” katanya.

Selain itu, Wany juga dalam proses menghasilkan album pertama yang dijangka keluar tahun ini juga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 7:26 AM