WANY tidak ada masalah dengan kritikan tapi bukan dengan cara menjatuhkan maruah.
WANY tidak ada masalah dengan kritikan tapi bukan dengan cara menjatuhkan maruah.
HM Digital

Isu buli siber dalam kalangan selebriti bukan perkara baru. Sejak laman sosial menjadi gaya hidup masyarakat, perkara itu sudah berleluasa.

Tidak terkecuali penyanyi Wany Hasrita yang menjadi mangsa buli siber sejurus selesai membuat persembahan pada malam Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), baru-baru ini.

Segelintir netizen menyamakan baju dipakainya pada AJL32 dengan botol air, pembalut gula-gula, daun terup, watak kartun dan filem serta pahlawan berperisai.

Bagaimanapun, Wany atau nama sebenarnya Nursyazwany Hasrita Hasbullah, 26, mengakui, apa yang diterima tidak seteruk orang lain hingga memaksa mereka menutup ruangan komen atau memadam seketika akaun laman sosial.

“Apa yang saya kena tidak seteruk orang lain. Sebenarnya saya muat naik di Instagram Stories (IG Stories) bukan sebab nak tunjuk sedih atau kecewa, tetapi nak bagi kesedaran jenayah buli siber memang wujud dan berlaku.

“Menghadapi perkara ini sangat ‘sakit’. Kalau tidak ada sokongan daripada orang sekeliling memang boleh membuatkan kemurungan. Alhamdulillah, saya ada sokongan kuat daripada keluarga, kawan dan pihak pengurusan. Ia sangat membantu.

“Saya tidak terlalu jauh atau lama untuk ambil hati mengenai perkara ini. Masuk hari kedua, saya bangun, ‘move on’ dan lupakan apa yang berlaku. Saya fikir ada kerja lain perlu diselesaikan. Saya bersyukur tawaran persembahan tidak berhenti,” katanya.

Wany yang popular menerusi lagu Menahan Rindu dan Rintihan Rindu berkata, dia tidak ada masalah dengan kritikan dilemparkan, namun bukan dengan cara menjatuhkan maruah dan harga dirinya.

Wany turut menyarankan pihak berkenaan mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya buli siber.

“Memberikan kritikan boleh sebab ia hak bersuara semua orang, namun biarlah membina dan bukan mengutuk sehingga melemahkan semangat seseorang. Jangan sampai tahap menghina ciri-ciri yang ada pada individu berkenaan.

“Sebagai contoh, mengkritik mengenai suara, tetapi memberi semangat untuk cuba lebih baik pada masa hadapan. Komen lagi satu, penyanyi baru sekarang memang tidak boleh menyanyi langsung dan suruh berhenti menyanyi. Dua komen ini berbeza.

“Saya berasakan perkara ini tidak patut. Golongan yang menulis komen sebegini tidak meletakkan diri mereka di tempat saya atau orang lain. Cuba kalau anak mereka dikecam sebegitu sekali, apa mereka rasa? Adakah ini lumrah manusia atau orang Melayu kita saja, saya pun tidak tahu. Jadi, saya sarankan di Malaysia ini perlu adakan kempen antibuli siber,” katanya.

Menurut Wany, adalah lebih baik sekiranya netizen yang kini mendapat jolokan ‘Mak Cik Bawang’ dan ‘Pak Cik Serai’ diam sekiranya tidak ada sesuatu yang baik ingin diperkatakan.

“Saya berasakan kalau semua orang terbuka mengenai kegagalan, ia tidak jadi masalah, malah tidak akan wujud orang sebegini. Saya ambil contoh, kalau gagal peperiksaan, takkan nak berhenti belajar? Begitu juga saya meletakkan diri dalam situasi berkenaan.

“Dalam bidang ini, saya masih belajar dan banyak lagi perlu diperbaiki. Apa saya lalui sekarang sehingga berada di pentas AJL adalah sangat drastik, namun saya ambil sebagai cabaran. Mungkin persembahan saya pada malam final belum cukup bagus. Insya-Allah kalau ada rezeki pada masa akan datang, saya akan buat lebih baik.

“Saya terima dan hadam setiap kritikan, namun, biarlah ia membina. Kalau setakat nak cakap mengenai perkara yang tidak ada kena-mengena, pada saya orang Malaysia patut sedar dan berfikiran lebih matang. Kalau tidak ada sesuatu yang bagus untuk diperkatakan, lebih baik diam,” katanya.

Menangis?

Mengimbau kembali pembabitannya pada AJL 32 lalu, Wany menafikan dia menangis selepas selesai membuat persembahan.

“Mana ada saya menangis? Saya hanya menangis sebelum membuat persembahan iaitu ketika bersalam dengan ibu, rakan, Ernie dan ibu Ernie. Jadi, ketika itu kami semua sebak. Bukan apa, kami tidak menjangka boleh sampai sejauh ini. Sebak kerana terharu.

“Cuma saya akui menangis disebabkan buli siber, tetapi alhamdulillah sekejap saja. Apa yang paling sedih bukan kerana buli siber ini, tapi apabila orang sudah bercakap mengenai perkara ini.

“Apabila melihat semula persembahan saya, rasa kecewa lebih pada diri sendiri sebab tidak dapat buat yang terbaik untuk pentas berprestij seperti itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wany kini muncul dengan single genre irama Malaysia berjudul Ewah Ewah.

“Ewah-Ewah antara lagu yang bakal dimuatkan dalam album mini saya. Lagu ciptaan Pak Ngah dan lirik Siso ini sangat istimewa buat saya. Apatah lagi, kedua-dua mereka adalah komposer yang memang saya tunggu-tunggu untuk bekerjasama. Alhamdulillah impian saya tercapai.

“Pada masa sama, niat saya menghasilan single ini sebagai pengubat rindu pada lagu tradisional kita yang kian dilupakan. Saya percaya masih ada lagi orang yang rindu untuk dengar lagu berentak begini,” katanya. -Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 8:55 AM