PATRICIA. Gambar kanan, Bejar memberitahu doktor dia membunuh wanita kerana membenci mereka. FOTO CEN
PATRICIA. Gambar kanan, Bejar memberitahu doktor dia membunuh wanita kerana membenci mereka. FOTO CEN
Agensi

MEXICO City: Satu pasangan yang juga pembunuh bersiri yang membunuh 20 wanita dan mengambil jantung mangsa untuk diberi makan anjing peliharaan dihukum penjara 654 tahun.

Mirror Online melaporkan, Juan Carlos Hernandez Bejar, 38, dan Patricia Martinez Bernal, 44, menerima hukuman terbaru iaitu penjara 40 tahun selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita pada Mac tahun lalu.

Seperti kebanyakan mangsa pasangan itu yang dibunuh kejam, mayat wanita berkenaan ditemui di bandar Ecatepec, Mexico.

Pasangan itu sebelum ini sudah dijatuhkan hukuman penjara selama 327 tahun atas pembunuhan lain yang mereka lakukan.

Bejar dan Patricia ditangkap pada Oktober 2018 di sebatang jalan ketika menolak kereta bayi yang penuh dengan anggota badan manusia yang dipotong.

Susulan tangkapan itu polis menggeledah kediaman mereka dan menemui beberapa mayat wanita.

Media tempatan melaporkan, Bejar mengaku kepada polis dia membunuh 20 wanita.

Patricia dipercayai menghampiri wanita muda sebelum mempelawa mereka datang ke rumahnya untuk membeli barangan seperti keju, baju atau minyak wangi.

Apabila wanita itu masuk ke rumah, mereka dibunuh dan mayat mangsa dikerat-kerat oleh Bejar.

Sejak 20 Mei lalu, pasangan berkenaan dijatuhi hukuman penjara sebanyak lapan kali.

Mereka juga sebelum ini dihukum penjara empat tahun atas kesalahan menjual bayi mangsa yang dibunuh mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 6:01 AM