Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG bapa meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas selepas menyelamatkan anak bongsunya dalam kebakaran rumahnya di Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari ini.

Lebih memilukan, mangsa Ahmad Fakhrurazi Shafie, 45, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sambil memeluk anaknya Muhammad Aqil Harith, 3, di halaman rumah oleh anak saudaranya pada 8.40 pagi.

Anak saudara mangsa, Ahmad Syahir Azizi Ahmad Zulfa, 18, berkata dia yang tiba di rumah neneknya yang terletak bersebelahan rumah mangsa ada melihat kepulan asap.

"Pada mulanya saya ingatkan ada orang membakar sampah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kecil dan cermin pecah dari rumah bapa saudara, beberapa minit kemudian.

"Saya bergegas keluar melihat apa yang berlaku dan ternampak bapa saudara terbaring di halaman rumah sambil memeluk anak bongsunya di dada," katanya.

Menurutnya, dia cuba membangunkan bapa saudaranya yang juga Timbalan Ketua Cawangan UMNO Kuala Ibai, namun lelaki itu tidak memberi sebarang tindak balas dengan keadaan mukanya sudah pucat.

Anggota bomba melakukan siasatan kebakaran rumah di Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari ini. Ahmad Fakhrurazi (gambar kecil). FOTO Mohd Syafiq Ambak
Anggota bomba melakukan siasatan kebakaran rumah di Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari ini. Ahmad Fakhrurazi (gambar kecil). FOTO Mohd Syafiq Ambak

Katanya, anak bongsu mangsa hanya menangis dalam pelukan bapanya, namun tiada kecederaan dialami kanak-kanak berkenaan sebelum diambil oleh neneknya.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebaik pasukan perubatan tiba di lokasi untuk memberikan rawatan kecemasan," katanya.

Difahamkan, ketika kebakaran membabitkan rumah berkembar dua tingkat itu, isteri mangsa, Tengku Mastura Tengku Ahmad, 30-an, sudah keluar ke tempat kerja manakala tiga lagi anaknya berada di sekolah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azlimin Mat Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.45 pagi sebelum 18 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, api sedang marak membakar rumah ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian manakala mangsa yang terbaring di luar rumah disahkan meninggal oleh pasukan perubatan.

"Kita mengambil masa selama 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 12:12 PM