Status Facebook Arwina menunjukkan tangannya yang masih basah dan terdapat kesan gigi Izul dan duit syiling 50 sen selepas memasukkan tangan ke dalam mulut kanak-kanak itu. FOTO Ihsan Arwina Mohammed
Status Facebook Arwina menunjukkan tangannya yang masih basah dan terdapat kesan gigi Izul dan duit syiling 50 sen selepas memasukkan tangan ke dalam mulut kanak-kanak itu. FOTO Ihsan Arwina Mohammed
Asrizal Aris


 

“SEUMUR hidup saya, itulah tindakan paling berani pernah saya buat,” kata Arwina Mohammed Abbas, 25, yang bertindak memasukkan separuh tangannya ke dalam mulut kanak-kanak yang tercekik duit syiling 50 sen, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Arwina berjaya mengeluarkan syiling berkenaan yang tersekat di tekak kanak-kanak yang juga anak saudaranya itu selepas membuat tiga kali percubaan.

Kisah kejadian yang berlaku di kediamannya di Labuan itu dikongsi di laman sosial Facebook sehingga menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi netizen sejak semalam.

Arwina berkata, kejadian berlaku ketika anak saudaranya, Izul Wahid Bisnu, berusia dua tahun sedang bermain bersama dua lagi rakan sebelum datang dan menepuk bahu Arwina dengan keadaan ternganga dan mata berair.

Katanya, selepas diperiksa dalam mulut kanak-kanak itu, didapati Izul tercekik syiling 50 sen menyebabkan kanak-kanak itu sukar bernafas dan muka menjadi kebiruan.

"Semua terus jadi panik tambahan pula kanak-kanak itu menangis tanpa suara. Ibu kepada Izul meminta saya untuk berbuat sesuatu lalu saya memberanikan diri untuk memasukkan jari ke dalam mulut Izul.

"Percubaan pertama saya menyebabkan syiling itu semakin masuk ke kerongkong, percubaan kedua pula saya sudah berjaya menyentuh dan menarik syiling itu tetapi terlepas.

"Saya panik lalu terbalikkan Izul dengan keadaan kepalanya ke bawah, dan masukkan separuh tangan sedalam-dalamnya dan berjaya menarik syiling itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut ibu kepada seorang anak itu, dia bersyukur apabila syiling itu dapat dikeluarkan sekaligus menyelamatkan nyawa anak saudaranya yang menyambut ulang tahun kelahiran yang kedua hari ini.

Bercerita bagaimana dia mampu mendapatkan keberanian itu, Arwina berkata dia merasai perasaan panik ibu kanak-kanak berkenaan kerana mempunyai anak yang hampir sebaya.

"Selain itu, saya perlu bertindak pantas kerana memang tidak sempat jika mahu dihantar ke klinik atau hospital. Kejadian itu berlaku sangat cepat sehingga memaksa saya ‘melanggar tembok keberanian’ saya.

"Keadaan Izul semakin baik apabila syiling itu dikeluarkan, bagaimanapun dia menangis kesakitan beberapa jam selepas itu menyebabkan kami menghantar ke klinik untuk diperiksa.

"Kami dimaklumkan tekaknya bengkak namun tidak serius kerana tidak ada luka. Kami tidak tahu bagaimana Izul jumpa 50 sen itu dan boleh berada dalam mulutnya," katanya yang juga seorang suri rumah.

Dia bersyukur kerana perkongsiannya di Facebook membantu memberi peringatan kepada orang ramai tentang bahayanya anak kecil bermain dengan duit syiling.

Katanya, dia tidak kisah dengan segelintir netizen yang memberi kecaman mengatakan pihaknya lalai dan mengakui kecuaian boleh berlaku di mana sahaja.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 9:24 PM