RAMLI menunjukkan duit syiling 1 sen dan 10 sen British yang masih disimpan di rumahnya di Batu Hampar. FOTO Nazri Abu Bakar
RAMLI menunjukkan duit syiling 1 sen dan 10 sen British yang masih disimpan di rumahnya di Batu Hampar. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


KENANGAN paling indah setiap kali menyambut Aidilfitri serta Aidiladha ketika kanak-kanak ialah menerima syiling 1 sen," kata Ramli Daud, 73, dari Batu Hampar, Peringgit Melaka.

Menurut Ramli, sepanjang tempoh beraya pada 1950-an itu, dia mampu mengumpul 50 sen dan ia digunakan untuk menikmati mi goreng, cendol, air batu kepal yang masing-masing berharga 5 sen.

Katanya, sepanjang zaman kanak-kanak, dia tidak pernah memegang wang kertas akibat kesusahan hidup.

"Bagaimanapun, ketika itu, harga barangan amat murah termasuk sepasang kasut sekolah cuma berharga 65 sen selain RM1 bagi sepasang baju sekolah.

"Pada masa sama, saya juga mengenakan baju sekolah ketika sambutan hari raya. Namun saya gembira walaupun hanya memakai baju sekolah.

DUIT syiling 1 sen dan 10 sen British yang masih disimpan Ramli Daud. FOTO Nazri Abu Bakar
DUIT syiling 1 sen dan 10 sen British yang masih disimpan Ramli Daud. FOTO Nazri Abu Bakar

"Saya memiliki 14 adik-beradik dan bapa berbelanja ala kadar memandangkan dia hanya bekerja sebagai buruh am di Hospital Melaka," katanya.

Pada masa sama, menurut Ramli, ketika itu, dia turut menyewa basikal pada kadar 10 sen untuk sehari bagi berhari raya.

Katanya, dengan berbasikal, dia bersama rakan akan ke kampung di sekitar Bukit Piatu, Bukit Serindit dan Pangkalan Rama untuk berhari raya.

"Ketika berusia 12 tahun, saya mula bekerja sebagai tukang kebun pada setiap petang di rumah seorang anggota tentera British berhampiran sekolah Menengah St David Bukit Baru dengan gaji RM12 sebulan.

"Wang itu saya gunakan untuk membeli pakaian sekolah dan keperluan harian bagi membantu keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 3:25 PM