IBU bapa perlu memotong makanan dalam saiz kecil sebelum diberikan kepada si kecil.
IBU bapa perlu memotong makanan dalam saiz kecil sebelum diberikan kepada si kecil.
Hafiz Ithnin

BAGI menarik perhatian si kecil menikmati hidangan, pasti ada sesetengah kita asyik mengagah si kecil supaya sentiasa dalam keadaan 'gembira' dan menjadikan waktu makan itu sesuatu yang menyeronokkan.

Tidak ada salahnya untuk melakukan hal sedemikian, namun jika dalam keadaan terlalu gembira sehingga si kecil ketawa terbahak-bahak kerana usikan anda, jangan lupa ia mungkin memberi risiko tercekik.

Isu kanak-kanak tercekik bukan sesuatu yang asing. Malah, setiap tahun ada sahaja laporan mengenai kanak-kanak maut akibat tercekik dan terbaharu mengenai mangsa maut akibat tercekik jeli.

Pakar Perubatan Kecemasan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Shahrul Nizam Ahmad Zamzali berkata, kanak-kanak bermain ketika makan boleh menyebabkan mereka tidak fokus dan berisiko menjadi faktor tercekik.

Beliau berkata, keadaan apabila kanak-kanak tercekik lebih sukar kerana pertama, saiz salur udara bayi adalah lebih kecil.

Ia bermakna, adalah lebih mudah untuk bendasing menghalang saluran udara mereka dari saluran udara orang dewasa yang lebih besar.

DUIT syiling antara objek yang menjadi tarikan bayi untuk bermain dan ia amat merbahaya.
DUIT syiling antara objek yang menjadi tarikan bayi untuk bermain dan ia amat merbahaya.

"Sebab kedua, bayi memerlukan masa untuk mereka belajar kemahiran mengunyah dan menelan. Sesetengah kanak-kanak masih belum mahir untuk menelan tetapi diberikan makanan yang tidak sesuai. Sekali gus memudahkan mereka tercekik dengan makanan itu.

"Ketiga pula, bayi mungkin tidak cukup tenaga atau kemahiran untuk batuk bagi mengeluarkan bendasing kerana batuk yang kuat, boleh membantu mengeluarkan bendasing yang menghalang saluran udara," katanya.

Pakar itu menambah, bayi turut meneroka persekitaran mereka dengan memasukkan objek ke dalam mulut yang menjadi risiko tercekik apabila objek berkenaan ditelan secara tidak sengaja.

Katanya, manusia mempunyai esofagus (saluran makanan) yang berfungsi untuk membawa makanan ke perut.

Berhampiran dengan esofagus itu, terletaknya trakea (saluran pernafasan) yang berfungsi untuk menyalurkan udara ke paru-paru.

"Memandangkan esofagus dan trakea ini terletak berhampiran, kadangkala, makanan yang sepatutnya masuk ke esofagus untuk ke perut, tersalah masuk ke trakea.

BAYI perlu ditenangkan selepas benda asing terkeluar.
BAYI perlu ditenangkan selepas benda asing terkeluar.

MENEPUK belakang bayi sebanyak lima kali bagi mengeluarkan benda asing.
MENEPUK belakang bayi sebanyak lima kali bagi mengeluarkan benda asing.

"Jika butiran makanan ini kecil, kita akan tersedak kerana badan manusia akan cuba mempertahankan daripada menerima bendasing ke paru-paru.

"Jika bendasing yang termasuk ke saluran pernafasan itu tidak dapat dikeluarkan, kesan buruk akan berlaku sama ada dalam jangka panjang atau jangka masa pendek," katanya.

Dr Shahrul Nizam berkata, saiz bendasing juga adalah sangat penting. Jika bendasing itu kecil, ia mungkin mengakibatkan jangkitan paru-paru. Bagaimanapun, jika bendasing itu besar, ia mungkin mengakibatkan halangan saluran udara, seterusnya boleh mengakibatkan kekurangan oksigen ke otak.

Jelasnya dalam badan manusia, oksigen adalah satu sumber yang sangat penting kepada otak. Kekurangan oksigen ke otak dalam masa empat minggu sahaja boleh mengakibatkan kerosakan otak.

Malah jika kekurangan oksigen itu berterusan, berisiko mengakibatkan kematian jika tidak mendapat rawatan.

"Terdapat dua jenis tercekik iaitu tercekik ringan dan tercekik teruk kerana kebanyakan mangsa akan nampak panik, dan akan cuba batuk. Selain itu terdapat dua jenis tanda iaitu tanda tercekik ringan dan tanda tercekik teruk.

"Tanda-tanda tercekik ringan adalah mangsa masih boleh bernafas dan menangis. Mangsa juga boleh batuk dengan kuat. Ia bermaksud saluran pernafasan mangsa masih tidak terhalang secara keseluruhannya," katanya.

Jelasnya, tanda-tanda tercekik teruk terjadi kerana saluran pernafasan terhalang sepenuhnya. Antara tanda-tandanya adalah mangsa sudah tidak boleh bernafas dengan betul.

Kadangkala, mangsa akan mengeluarkan bunyi siulan ketika bernafas. Jika disuruh batuk, mangsa tidak akan mampu batuk dengan kuat.

BERMAIN ketika makan boleh menjadikan kanak-kanak tidak fokus.
BERMAIN ketika makan boleh menjadikan kanak-kanak tidak fokus.

"Dalam keadaan yang teruk, bibir mangsa mungkin menjadi kebiruan. Lebih membimbangkan, mangsa mungkin akan tidak sedarkan diri atau pengsan.

"Tetapi jika mangsa tidak bernafas langsung, dia mungkin akan memerlukan bantuan resusitasi kardiopulmonari atau CPR iaitu prosedur untuk mengembalikan denyutan jantung dan pernafasan melalui pengepaman jantung secara luaran dengan menggunakan tangan untuk menyelamatkan nyawanya.

"Pemberian pertolongan cemas boleh membantu bayi tercekik jika bantuan itu diberikan serta merta kerana sekiranya dibiarkan, mungkin nyawa bayi akan terancam. Pembantu haruslah jangan panik, sambil cuba menenangkan bayi dan orang-orang sekitar," katanya.

Tambahnya, bagi bayi yang menunjukkan tanda tercekik teruk dan tidak boleh batuk dengan sempurna, pertolongan cemas perlu dilakukan. Langkah pertolongan cemas terdiri dari tepukan belakang dan tekanan dada.

"Tepukan belakang dibuat dengan memegang bayi dengan kemas. Pastikan yang bayi tidak akan jatuh. Tepuk belakang bayi di tengah-tengah antara tulang belikatnya. Tepukan ini haruslah menggunakan tapak tangan bukan dengan jari.

"Tepuk sebanyak lima kali sambil melihat sama ada bendasing itu keluar dari mulut bayi. Jika sudah keluar, periksa semula bayi. Pastikan bayi sudah boleh bernafas atau menangis dan tiada lagi tanda-tanda tercekik yang teruk," katanya.

DR Shahrul Nizam menunjukkan anatomi saluran pernafasan manusia.
DR Shahrul Nizam menunjukkan anatomi saluran pernafasan manusia.

Nasihatnya, orang dewasa yang menjaga bayi perlu sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian bayi tercekik terutama bayi yang sudah pandai merangkak. Memandangkan, mungkin si kecil terjumpa objek kecil ketika merangkak dan memasukkannya ke dalam mulut.

Sebenarnya sangat penting untuk kita menjadikan rumah atau kawasan bermain bayi sebagai kalis bayi bagi meminimumkan risiko kemalangan kepada bayi yang masih tidak dapat membezakan objek.

"Ketika makan, pastikan makanan yang diberikan dipotong dengan saiz kecil. Ia penting terutama untuk makanan yang keras seperti buah-buahan atau daging. Sambil itu, jangan galakkan bayi makan sambil bermain. Berikan masa yang cukup untuk bayi mengunyah makanan.

"Paling penting, ibu bapa atau penjaga hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu pertolongan cemas kerana bayi mempunyai risiko terdedah dengan kemalangan ketika bermain. Belajarlah ilmu pertolongan cemas yang betul dengan pengajar yang bertauliah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 7:00 AM