LAPORAN portal berita Harian Metro pada 4 Oktober lalu.
LAPORAN portal berita Harian Metro pada 4 Oktober lalu.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Syiling 10 sen yang tersangkut di dalam perut kanak-kanak lelaki selepas dia memasukkannya ke dalam mulut pada 1 Oktober lalu, berjaya dikeluarkan, pagi kelmarin.

Ibunya, Nor Aidatul Azua Baharudin, 37, berkata, anaknya, Muhamad Afeef Dayyan Muhamad Rapi, 2, berjaya mengeluarkan syiling itu ketika membuang air besar pada 8 pagi.

Menurutnya, dia akan memantau anak bongsu daripada tiga beradik yang mesra dikenali Ayyan itu dengan perasaan takut dan berdebar.

"Saya memang risau dan berdebar setiap kali Ayyan membuang air besar dengan mengharapkan syiling itu berjaya dikeluarkan dan ia menjadi kenyataan, pagi kelmarin.

"Tidak dapat digambarkan perasaan gembira kami sekeluarga ketika itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, meskipun syiling itu sudah keluar, Ayyan perlu mendapatkan rawatan susulan dan menjalani imbasan X di Hospital Tengku Azizah, Kuala Lumpur.

Menurutnya, mereka sekeluarga berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesihatan anaknya, walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.

Katanya, berkat doa semua, Ayyan tidak perlu menjalani pembedahan atau proses sedut untuk mengeluarkan syiling berkenaan.

Sebelum ini, portal berita akhbar ini melaporkan suami isteri cemas apabila anak bongsu mereka tercekik syiling di rumah mereka di Bukit Beruntung, di sini, selepas kanak-kanak itu memasukkannya ke dalam mulut sebelum ia tersangkut pada perut.

Berita berkaitan

'Cemas anak tercekik duit syiling 10 sen'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 5:10 PM