GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN lelaki berketurunan Siam menjual tambah nilai kepada ‘tahi judi’ bagi kegiatan judi dalam talian tanpa lesen mengundang padah apabila dia ditahan dalam serbuan di kedai telekomunikasi di Kampung Tanjung Luar Mukim Pedu, di Padang Terap, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kegiatan suspek berusia 37 tahun itu bertindak menyerbu premis terbabit, 10.20 malam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut merampas satu unit telefon bimbit jenama Vivo yang digunakan untuk kegiatan perjudian terbabit.

“Semakan juga mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek direman sehari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noh berkata, judi dalam talian ini sudah mula menular dalam kalangan remaja dan ia sukar dikesan kerana menggunakan telefon bimbit untuk melayari laman sesawang perjudian.

“Bagaimanapun kita akan terus mempertingkatkan maklumat dalam usaha membanteras kegiatan ini.

“Ibu bapa juga dinasihatkan memantau kegiatan anak-anak mereka supaya dapat dijauhi daripada terjebak dalam gejala judi dalam talian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 1:13 PM