KEJAYAAN diraih sepanjang 2017 pembakar semangat buat 2 penyanyi kacak ini.
KEJAYAAN diraih sepanjang 2017 pembakar semangat buat 2 penyanyi kacak ini.
Sudirman Mohd Tahir


Dua minggu lagi kita bakal melangkah ke 2018. Bagi dua penyanyi muda yang nama mereka kian mekar dan meniti di bibir peminat, Khai Bahar serta Andi Bernadee, 2018 bukan lagi masa untuk mereka bereksperimen.

Sepanjang 2017 mereka sudah mengutip banyak pengalaman. Setiap satu daripadanya memberikan makna dan warna berbeza pada kanvas seni mereka.

Tolak tepi duka lara dilalui kerana apa yang pasti senyum dan tawa dilemparkan dua penyanyi kacak ini cukup memberi gambaran betapa indah kembara seni mereka.

Lebih membanggakan, sepanjang tahun ini baik Khai mahupun Andi, kedua-dua mempunyai ceritera berbeza yang meletakkan mereka sedikit istimewa berbanding penyanyi lain.

Siapa sangka, bakat yang dicungkil daripada aplikasi Smule membawa nama mereka ke aliran muzik semasa seterusnya memberikan saingan kepada penyanyi sedia ada.

Khai Bahar misalnya, bukan saja lagu nyanyiannya menjadi siulan peminat tetapi 2017 juga mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul lima anugerah dalam tiga acara berprestij.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 23, dinobatkan Artis Baru Meletop pada Anugerah Meletop Era 2017, Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular 3.0, Lagu Paling Popular APM (menerusi lagu Bayang) dan Artis Paling Popular APM 2017 pada Anugerah Planet Muzik 2017.

“Alhamdulillah, tahun ini tahun rezeki saya. Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka dapat semua ini. Macam saya pernah katakan, saya muncul dalam bidang ini hanya untuk berkongsi dan mengetengahkan bakat yang ada.

“Apabila diterima, saya anggap ini bonus. Disebabkan itu, saya sentiasa cuba memberikan yang terbaik. Malah saya percaya, tanpa sokongan daripada peminat saya tidak akan berada pada tahap sekarang.

“Mereka juga sebab utama saya mahu terus memperbaiki diri dan kualiti persembahan. Saya tidak mahu menghampakan harapan mereka. Jadi, apabila merangkul anugerah, bagi saya ini semua hasil kerja keras mereka,” katanya.

Bagi Khai yang baru muncul dengan single Luluh, kemenangan diraih itu bukan tiket untuk mendabik dada atau berasakan diri lebih bagus daripada penyanyi lain.

Sebaliknya, semua itu menjadi cabaran untuknya buat lebih baik pada tahun berikutnya. Paling penting, ia menjadi pengukur kepada kualiti kerjayanya selepas ini.

“Perjalanan saya masih jauh. Saya masih sedar diri dan ruang. Kalau nak dibandingkan dengan penyanyi hebat lain, saya jauh ketinggalan. Banyak lagi perkara perlu saya pelajari.

“Cuma, sebagai penyanyi baru, saya bersyukur apabila bakat mula diterima sekalipun pada awalnya ada juga yang skeptikal. Saya okey dan tak ada masalah. Bagi saya, ia perkara biasa bagi penyanyi yang baru setahun jagung dalam industri.

“Paling penting, anugerah yang dimenangi akan terus menjadi pembakar semangat untuk meningkatkan kemampuan diri,” katanya.

Satu pencapaian membanggakan juga apabila nama Khai harum dan mendapat sambutan baik pencinta muzik di Indonesia, Singapura, Brunei dan Hong Kong.

Buktinya, kunjungan Khai ke negara terbabit atas tiket jemputan khas bagi mengadakan sesi ramah mesra sekali gus mempromosikan lagu.

Mengenai kerjaya seni, Khai bakal muncul dengan single keempat berentak catchy serta lagu duet dengan Fatin Husna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 6:53 AM