Khai bersama trofi kemenangannya.
Khai bersama trofi kemenangannya.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Khai Bahar menang besar pada Hot FM Top Hot 2017 menerusi kategori Lagu Hot 2017 (Luluh), Penyanyi Lelaki Hot 2017 dan FB Live Hot 2017 (bersama Wany Hasrita).

Khai berkata, kejayaan diraih itu berkat kerja keras peminat yang mengundi dirinya dalam setiap pencalonan.

“Macam dikatakan sebelum ini, tanpa sokongan peminat mustahil saya boleh dapat semua ini. Sebagai penyanyi baru, ini satu pencapaian dan kejayaan besar untuk saya dalam kerjaya dan peribadi.

“Paling penting, setiap kemenangan diraih sepanjang tahun ini saya dedikasikan khas buat semua peminat terutama Khai Bahar Empire (KBE) dan seluruh keluarga. Malah, ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus memberikan yang terbaik,” katanya kepada Harian Metro.

Tiga kemenangan itu menyaksikan Khai berjaya meraih lapan anugerah sepanjang tahun ini membabitkan acara Anugerah Bintang Popular 3.0, Anugerah MeleTop Era dan Anugerah Planet Muzik 2017.

“Saya bersyukur dengan apa yang ada dan menganggap ia rezeki. Menang anugerah tidak bermaksud saya bagus atau popular berbanding orang lain, tetapi ini atas usaha peminat.

“Secara peribadi, masih banyak yang perlu saya pelajari dan perbaiki. Saya masih hijau dalam bidang ini dan perjalanan masih panjang. Setiap apa dilalui memberi satu pengalaman baru. Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan percaya dengan bakat saya,” katanya.

Antara kategori yang dipertandingkan adalah Lagu Hot 2017, Penyanyi Lelaki Hot 2017, Penyanyi Wanita Hot 2017, Penyanyi Baru Hot 2017, Super Band Hot 2017 dan FB Live Hot 2017.

Penyanyi Wanita Hot 2017 menjadi milik Siti Nordiana, Penyanyi Baru Hot 2017 (As’ad Motawh) dan Super Band Hot 2017 (Putera Band).

Senarai pencalonan awal Top Hot 2017 adalah berdasarkan produk penggiat seni yang ke udara di Hot FM dari 1 Januari hingga 31 Oktober 2017.

Bermula 13 November lalu, undian pusingan pertama dibuka untuk menyenarai pendek lima calon terbaik daripada senarai pencalonan awal dan sesi undian pusingan pertama berakhir pada 24 November lalu.

Undian pusingan akhir menentukan pemenang bagi setiap kategori bermula pada 27 November lau dan ditutup pada 15 Disember.

Senarai pemenang diumumkan di Hot FM bermula jam 6 pagi semalam dan semua perkembangan terkini mengenai Top Hot 2017 boleh diikuti menerusi platform digital Hot FM.

Top Hot 2017 ialah pengiktirafan yang memberi kuasa sepenuhnya kepada pendengar dan peminat setia untuk menentukan pemenang bagi kesemua enam kategori pencalonan yang dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 2:37 PM