GANDINGAN ONE, Azharina dendang Layar Impian dalam GV6 dapat pujian.
GANDINGAN ONE, Azharina dendang Layar Impian dalam GV6 dapat pujian.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


MELIHAT kehebatan kumpulan One Nation Emcee (ONE) dalam program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6), ramai terpegun dengan kemampuan mereka mendendangkan lagu orang lain dengan gaya tersendiri.

Ada antara lagu didendangkan di konsert mingguan digubah semula, sekali gus kedengaran seperti lagu baru. Namun, susunan muzik itu tidak mengubah melodi asal.

Penonton langsung tidak terfikir mengenai penyanyi asal lagu dinyanyikan kumpulan yang dianggotai Mimi Fly, Sabhi Saddi, Jojo Fly dan Kozae, sebaliknya mereka berjaya menjadikan lagu itu seakan-akan hak milik ONE.

Paling menarik perhatian peminat dan penonton setia GV6, pada minggu duet yang mana anggota ONE bergandingan dengan juara Gegar Vaganza musim ketiga, Azharina menyanyikan lagu Layar Impian yang dipopularkan ratu rock negara, Ella.

Tidak kurang juga ada yang berasakan, gubahan semula itu seharusnya dirakamkan kembali ONE bersama Azharina sebagai projek istimewa.

Berbicara mengenai perkara itu, kata Mimi, selepas mendengar maklum balas positif diberikan peminat, mereka ada terfikir untuk merakamkannya kembali, apatah lagi Azharina sendiri berasakan ia harus dilakukan.

“Sebenarnya bukan mudah untuk kami menghasilkan duet lagu Layar Impian kerana ia nyanyian solo Ella.

“Sewaktu menerima tugasan itu, kami berasa bimbang andai tidak dapat menyanyikannya dengan baik. Apatah lagi kami berlima dengan tiga vokal dan bagaimana hendak memecahkan persembahan agar semua nampak menonjol di atas pentas,” katanya.

Menurut Mimi, jika mendendangkan lagu mengikut nyanyian asal, sudah tentu peminat akan membandingkan persembahan mereka dengan Ella.

“Kami ambil risiko walaupun sedar kemungkinan apa yang dilakukan itu tidak digemari ketua juri, Datuk Ramli MS. Nada nyanyian juga diubah sebanyak dua kali namun ia tidak memuaskan hati kami sehinggalah diubah sekali lagi sehari sebelum persembahan dilakukan,” katanya.

Bercakap mengenai idea untuk melakukan susunan semula muzik sebagai tugasan setiap minggu, kata Mimi, ia atas persetujuan semua anggota kumpulan.

“Seperti lagu Layar Impian, muzik asalnya rock 90-an dan kami tidak boleh menyanyikannya dalam nada terlalu merdu. Bagi menjadikan ia

trad

e

mark

ONE, kami masukkan sedikit eleman EDM agar rancak.

“Untuk mendapatkan muzik seperti yang kami nyanyikan itu, hampir dua jam berbincang dengan Ramli MS. Mengikut perancangan awal, kami mahu bergabung dengan kumpulan Ruffedge tetapi agak sukar untuk menilai nyanyian kerana terlalu ramai.

“Akhirnya kami melamar Azharina dan syukur dia terima. Itupun ada pihak beri amaran agar kami berhati-hati sebab kata mereka Azharina suka ‘makan’ penyanyi yang berduet dengannya,” katanya.

Bagaimanapun, apa yang diperkatakan itu tidak berlaku, sebaliknya Azharina banyak membantu memantapkan persembahan ONE.

“Penonton sendiri boleh menilai, perkara yang dikatakan mengenai Azharina itu tidak benar dan ia langsung tidak berlaku. K

ehadiaran Azharina menjadikan persembahan kami tampak seimbang,” katanya.

Azharina sewaktu ditanya mengenai kemungkinan dia dan ONE bergabung kembali untuk menyampaikan lagu Layar Impian, dia mengakui tiada masalah untuk merealisasikannya.

Apatah lagi, dia sedia maklum ramai penonton GV6 menyukai gandingan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:10 AM