PENUMPANG beratur di pintu masuk pelepasan di Lapangan Terbang Antaranbangsa Ngurah Rai. FOTO  Antara Foto/Reuters
PENUMPANG beratur di pintu masuk pelepasan di Lapangan Terbang Antaranbangsa Ngurah Rai. FOTO Antara Foto/Reuters
AFP

Denpasar: Ribuan pelancong asing semalam dibenarkan terbang keluar dari Bali selepas lapangan terbang di pulau percutian popular Indonesia itu terus dibuka susulan penutupan hampir tiga hari akibat Gunung Agung yang semakin aktif.

“Sejak lapangan terbang dibuka kelmarin, beberapa penerbangan meneruskan operasi dan semuanya kembali seperti biasa,” kata jurucakap lapangan terbang, Israwadi.

Menurutnya, sudah lebih 45,000 orang berlepas menaiki pesawat.

Penerbangan domestik Garuda petang kelmarin berkata, ia akan mula berlepas ke beberapa bandar di kepulauan itu, begitu juga AirAsia yang akan menuju ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, lapangan terbang berhampiran pulau Lombok yang juga destinasi popular pelancong, ditutup semula semalam selepas asap dan debu melencong ke arahnya.

SEORANG penjaja menunggu pelanggan dengan berlatarbelakangkan Gunung Agung yang menghembur asap serta abu di Karangasem, Bali. - Reuters
SEORANG penjaja menunggu pelanggan dengan berlatarbelakangkan Gunung Agung yang menghembur asap serta abu di Karangasem, Bali. - Reuters

Menurut pejabat imigresen, jutaan pelancong mengunjungi kepulauan itu setiap tahun, majoritinya warga China, diikuti Australia, India, Britain dan Jepun.

Sementara itu, segelintir daripada ribuan penduduk yang dipindahkan dari kawasan bencana menggadai nyawa menyelinap pulang ke rumah mereka tanpa menghiraukan papan tanda amaran yang diletakkan di sekitar zon bahaya.

Penternak ayam Wayan Kompyang berkata, dia meninggalkan isteri dan sembilan anak di pusat pemindahan untuk menjaga haiwan yang menjadi punca rezeki.

“Bukan saja ayam daging, malah juga untuk disabung. Saya perlu memastikan ayam sabung masih sihat untuk bertarung selepas bencana ini berakhir,” katanya.

SEORANG polis menghalang dua pelancong memasuki kawasan larangan berhampiran Gunung Agung. - AFP
SEORANG polis menghalang dua pelancong memasuki kawasan larangan berhampiran Gunung Agung. - AFP

Amaran di Gunung Agung itu kekal di tahap maksimum, tetapi perubahan arah tiupan angin yang membawa debu dan asap jauh dari lapangan terbang menyebabkan pihak berkuasa membukanya semula petang Rabu lalu.

Abu amat berbahaya kepada pesawat kerana ia boleh menyebabkan landasan licin dan disedut masuk ke dalam enjin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 5:31 AM