Bangkai lembu disimpan dalam kenderaan pacuan empat roda. (Gambar kanan). Senjata api yang digunakan penjenayah. FOTO  Abnor Hamizam Abd Manap
Bangkai lembu disimpan dalam kenderaan pacuan empat roda. (Gambar kanan). Senjata api yang digunakan penjenayah. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


LAPAN penjenayah termasuk anggota polis dan tentera ditahan selepas dipercayai terbabit menembak dan melarikan haiwan ternakan dari sebuah ladang di Kampung Ulu Lakai, Jelebu, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi, suspek berusia 29 hingga 54 tahun yang menaiki dua pacuan empat roda masuk ke kawasan ladang berkenaan dengan menyamar sebagai kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk menjalankan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek bertindak menembak dua lembu dan empat kambing milik penduduk dengan menggunakan senapang patah serta pistol.

Katanya, enam haiwan ternakan itu mati sebelum suspek memotong lembu kepada dua bahagian dan dipunggah masuk ke dalam kenderaan mereka.

"Setengah jam kemudian, suspek dilihat keluar dari kawasan ladang. Namun, beberapa penduduk yang curiga dengan kehadiran mereka bertindak mengepung dan menahan kenderaan di laluan keluar.

"Penduduk menjalankan pemeriksaan menemui semua haiwan berkenaan di ruang simpanan di bahagian belakang kenderaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, penduduk memaklumkan kejadian kepada polis dan sepasukan anggota ke lokasi menjalankan siasatan.

Katanya, pemeriksaan polis turut menemui senjata api, beberapa butir peluru hidup, kapak dan pisau di dalam kenderaan suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 4:57 PM