AZIZUL (dua kiri) dan dan keluarganya (gabar kanan, atas) terpaksa menempuh perjalanan 20 jam dari Lombok ke Surabaya untuk pulang ke Malaysia selepas penerbangan mereka dibatalkan akibat letusan Gunung Agung. FOTO ihsan Azizul Hakim
AZIZUL (dua kiri) dan dan keluarganya (gabar kanan, atas) terpaksa menempuh perjalanan 20 jam dari Lombok ke Surabaya untuk pulang ke Malaysia selepas penerbangan mereka dibatalkan akibat letusan Gunung Agung. FOTO ihsan Azizul Hakim
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


PEMBATALAN penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok, Indonesia disebabkan letusan Gunung Agung di Bali memaksa 18 rakyat Malaysia termasuk 14 sekeluarga menempuh perjalanan 20 jam ke Surabaya untuk pulang ke Malaysia.

Azizul Hakim Abu Haniffa, 34, berkata, dia perlu segera pulang ke Malaysia kerana sepatutnya sudah mula bekerja hari ini tetapi terpaksa mengambil cuti kecemasan sehingga esok.

Ahli keluarganya yang lain juga mempunyai urusan masing-masing termasuk perlu menghadiri mesyuarat penting, katanya.

Azizul Hakim berkata, mereka sekeluarga tiba di Lombok sejak Rabu lalu dan menerima maklumat mengenai pembatalan penerbangan mereka pada tengah hari semalam.

"Kami sepatutnya pulang malam tadi. Ini pertama kali saya berdepan pengalaman penerbangan dibatalkan. Kami reda dengan ujian Allah SWT dan pihak AirAsia juga banyak membantu kami.

"Mereka menyalurkan maklumat mengenai perjalanan ke Surabaya ini tetapi perlu menggunakan kos sendiri," katanya yang menetap di Putrajaya.

Azizul berkata, dia dan ahli keluarganya yang dalam perjalanan ke Surabaya perlu dua kali menaiki bas dan dua kali menggunakan feri sebelum tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda.

"Saya bersama 13 lagi ahli keluarga dan empat lagi rakyat Malaysia yang bersama kami menaiki bas dari Mataram ke Pelabuhan Lembar, Lombok. Dari sana, kami menaiki feri ke Pelabuhan Padang Bai, Bali.

"Kemudian, kami akan mengambil bas ke Pelabuhan Gilimanuk, Bali sebelum sampai ke pelabuhan LCM, Surabaya menggunakan feri, dan dari situ kami akan menggunakan khidmat pemandu untuk ke Juanda," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mereka perlu membelanjakan kira-kira RM6,361 lagi untuk tambang bas dan feri termasuk penginapan malam tadi dan penerbangan balik ke Malaysia dari Surabaya.

Azizul Hakim yang bekerja sebagai eksekutif di syarikat swasta berkata, perjalanan hampir 600 kilometer itu agak mencabar bagi mereka sekluarga yang berusia antara 21 bulan hingga 64 tahun termasuk ibu bapa, adik beradik isterinya dan lima kanak-kanak.

Mereka dijangka tiba di Surabaya pada 6 petang esok, sebelum cuba mendapatkan tiket untuk pulang ke Malaysia dari sana.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini menasihati rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Bali kerana penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali.

Kementerian turut menasihati rakyat Malaysia yang terjejas supaya melaporkan kepada pihak Kedutaan Malaysia di Jakarta dan sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 10:05 PM