Mohd Husni Mohd Noor


DUA pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di Bahagian Kaunselor dan Imigresen, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dihantar ke Bali bagi menguruskan perjalanan pulang warga Malaysia yang kini terkandas akibat letusan Gunung Agung.

Jabatan Imigresen dalam kenyataan hari ini berkata, dua pegawai berkenaan akan dibantu oleh dua kakitangan warga tempatan bagi menguruskan perkara berkenaan.

Katanya, buat masa ini, lebih 1,400 warga Malaysia terkandas di Bali akibat letusan gunung berkenaan.

"Pasukan khas itu akan membantu rakyat Malaysia yang ingin meninggalkan Bali melalui jalan darat dan seterusnya berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya untuk pulang ke tanah air.

"Fokus utama pasukan petugas khas itu adalah memberikan perkhidmatan konsular dan hal ehwal imigresen kepada warga Malaysia," katanya.

Katanya, pasukan ini akan bekerjasama rapat dengan Direktoral Jeneral Imigrasi, syarikat penerbangan dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kelancaran proses evakuasi berkenaan.

Menurutnya, rakyat Malaysia di Bali dinasihatkan untuk berkomunikasi dengan keluarga dan rakan terdekat bagi memberikan jaminan mengenai keselamatan dan situasi di wilayah berkenaan.

Rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta dan Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Bali.

Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta boleh dikunjungi di Jl H R Rasuna Said Kav X/6, No. 1-3, Kuningan, 12950 Jakarta Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 7:20 PM