NOR Aziah bersama Aisyah dan Adam (gambar kecil) ketika dalam penerbangan ke Lombok sebelum pesawat itu berpatah balik dan penerbangan dibatalkan akibat letusan Gunung Agung. FOTO AFP dan ihsan Nor Aziah
NOR Aziah bersama Aisyah dan Adam (gambar kecil) ketika dalam penerbangan ke Lombok sebelum pesawat itu berpatah balik dan penerbangan dibatalkan akibat letusan Gunung Agung. FOTO AFP dan ihsan Nor Aziah
Mazizul Dani


PEGAWAI bank kerugian RM1,500 selepas penerbangannya ke Lombok, Indonesia, hari ini dibatalkan susulan letusan Gunung Agung di Bali.

Nor Aziah Badarudin, 38, berkata, penerbangannya dengan pesawat AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), 8.30 pagi tadi.

“Dalam penerbangan pada 10.30 pagi, kapten umumkan terpaksa berpatah balik.

"Setibanya semula di klia2, saya telefon hotel untuk tunda daftar masuk penginapan kepada esok, memandangkan saya dah bayar hotel RM1,500. Begitu juga dengan penerbangan, saya minta jadualkan semula esok (27 November).

"Malangnya, saya baru saja terima maklumat terkini menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan e-emel mengatakan penerbangan kami dibatalkan terus," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ini bermakna, bayaran hotel selama lima hari berjumlah RM1,500 yang dibuat untuk penginapannya bersama suami, Kahirol Jefri Abd Muen, 40, dan dua anak, Aisyah Nur Afiqah, 14, dan Adam Afiq, 12, hangus begitu saja.

"Kami sekeluarga merancang percutian ini sejak Mei lalu sempena cuti sekolah yang bermula Jumaat lalu dan saya pun dah minta cuti panjang.

"Memang saya dan anak-anak rasa kecewa sebab dah rancang awal, tetapi demi keselamatan, saya reda," katanya yang tinggal di Rawang, Selangor.

Bagi mengubati kekecewaan anak-anak dan perancangan yang tidak menjadi, Nor Aziah merancang untuk meluangkan masa bercuti bersama keluarga di dalam negara saja dan mungkin menggunakan kredit nilai tambang penerbangan yang dibatalkan.

Terdahulu, AirAsia dalam kenyataan hari ini membatalkan 32 penerbangan dan menjadualkan semula dua penerbangan dari dan ke Bali dan Lombok, Indonesia.

AirAsia berkata, penumpang yang penerbangannya dibatalkan boleh menukar kepada tarikh yang baru untuk laluan yang sama dalam tempoh 30 hari penerbangan asal tanpa kos tambahan dan bergantung kepada kekosongan tempat duduk.

Jika tidak mahu menukar tarikh, penumpang boleh menyimpan kredit nilai tambang itu ke dalam akaun kredit untuk penerbangan akan datang dengan AirAsia.

Berita berkaitan:

32 penerbangan AirAsia dibatalkan

Asap setinggi 4,000 meter

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 9:20 PM