IFWAT Akmal. FOTO Osman Adnan
IFWAT Akmal. FOTO Osman Adnan
Syafiq Aznan dan Izzali Ismail

Alor Setar: Penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim mahu rakan sepasukannya supaya sentiasa berada dalam mod ‘berjaga-jaga’ menjelang aksi final Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Jelas penjaga gol skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara itu, dia tidak rela andai ada rakan sepasukannya yang mengalami kecederaan ketika menjalani latihan sekali gus terpaksa diketepikan pada aksi penentuan yang juga menjadi misi skuad Helang Merah mempertahankan piala berprestij itu di bumi Kedah.

“Aksi final ini adalah aksi penutup musim jadi saya mengharapkan semua pemain dapat bersama sama pasukan kerana kita turun dengan hasrat mengekalkan piala yang dimenangi pada musim lalu.

“Jadi, saya mahu semua pemain mengekalkan fokus dan dapat berjaga-jaga supaya tidak ada yang cedera sehingga tidak dapat beraksi. Kita mahu beraksi dengan skuad yang lengkap dalam usaha memberi cabaran yang sengit kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) nanti,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kecemerlangan penjaga gol berusia 21 tahun itu sudah pasti ditagih pengendalinya, Nidzam Adzha Yusoff pada aksi final nanti apatah lagi kini dia sudah bertambah matang selepas beraksi dalam tiga perlawanan akhir bersama pasukan itu.

Selepas tiga kali beraksi di pentas final yang berlangsung di Stadium Shah Alam, dia mengaku sudah selesa dengan venue yang dianggap sebagai ‘rumah kedua’ bagi perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.

“Ini adalah final Piala Malaysia yang kedua dalam karier saya dan berbekalkan pengalaman pada musim lalu dan juga saingan liga serta pengalaman antarabangsa, ia banyak membantu saya memperkemas kemahiran sebagai penjaga gol.

“Jadi, saya sudah bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan pada pentas akhir nanti dan dengan sokongan rakan sepasukan serta penyokong, saya optimis kita mampu muncul juara sekali lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 6:54 AM