Hassan  menunjukkan keadaan rumah  didiaminya yang semakin uzur di Kampung Chabau, Jasin.
Hassan menunjukkan keadaan rumah didiaminya yang semakin uzur di Kampung Chabau, Jasin.
Nur Saliawati Salberi


Jasin: “Sudah lebih 10 tahun saya tinggal di sini. Tidak ada apa yang hendak dirungutkan walaupun keadaan rumah memang uzur, cukup jadi tempat saya berteduh daripada hujan dan panas,” kata Hassan Yahya, 70, yang menghuni rumah usang di tepi Jalan Chabau, di sini.

Warga emas itu berkata, walaupun sekeliling rumah itu dipenuhi semak-samun dan persekitarannya gelap pada waktu malam dia bersyukur kerana kediaman itu tidak pernah dimasuki haiwan atau serangga berbisa.

Lebih membimbangkan, akibat semak-samun semakin menebal lokasi rumah didiami Hassan juga tersorok malah orang ramai yang menggunakan laluan berkenaan tidak sedar kewujudan kediaman uzur itu.

Malah sejak sebulan lalu, warga emas yang tinggal sebatang kara itu terpaksa menggunakan lilin menerangi rumahnya berikutan bekalan elektrik sudah dipotong dipercayai akibat kegagalan adiknya menjelaskan bil utiliti berkenaan.

“Kerana sudah terlalu uzur, bahagian bumbung boleh runtuh bila-bila masa, sebelum ini beberapa keping siling sudah jatuh, dinding pula tak tahu sampai bila boleh bertahan daripada serangan anai-anai.

“Saya sedar rumah ini tak selamat untuk didiami dan boleh membahayakan nyawa sendiri, tetapi ini sahaja tempat yang ada untuk saya berlindung.

“Jiran ramai datang mahu bantu, tapi saya seboleh-bolehnya tidak mahu bergantung kepada orang lain walaupun usia sudah lanjut, tapi masih mampu menguruskan diri sendiri,” katanya.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu berkata, dia menggunakan wang bantuan yang diterima dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 untuk membeli makanan dan keperluan lain.

“Saya selesa tinggal di rumah uzur ini kerana tidak mahu menyusahkan anak berusia 30-an kini menetap di Johor, dia juga ada tanggungan lain, cukup dia balik tengok saya di rumah ini.

“Duit bantuan JKM juga digunakan untuk bayar bil elektrik, biasanya saya minta adik bantu. Mungkin dia ada masalah jadi bekalan elektrik kena potong. Kalau diberi peluang saya mahu berteduh di rumah yang jauh lebih selesa daripada sekarang, tapi sekarang ini saya tidak mahu terlalu berharap,” katanya.

Tinjuan Harian Metro mendapati keadaan di dalam rumah itu tidak terurus malah ada perabot dan kelengkapan rumah seperti permaidani sudah rosak, namun masih digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 5:31 AM