SUKARELAWAN bantu Mohd Nazree (kanan) bersihkan rumahnya. FOTO NSTP
SUKARELAWAN bantu Mohd Nazree (kanan) bersihkan rumahnya. FOTO NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob


Kuala Lumpur: Tiga daripada 70 kucing sakit yang diselamatkan daripada seorang lelaki yang menetap di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Sentul, di sini, mati akibat penyahhidratan.

Khamis lalu, Harian Metro melaporkan 70 kucing dalam keadaan ‘nazak’ diselamatkan Sahabat Kucing Jalanan di kediaman itu.

Misi menyelamatkan kucing itu dilakukan persatuan bukan kerajaan itu dibantu beberapa anggota polis untuk mengawal keadaan.

Ketika diselamatkan, semua kucing itu dalam keadaan kurus, sakit mata dan tertanggal bulunya.

Ahli Persatuan Sahabat Kucing Jalanan yang juga seorang penjaga sementara kucing itu, Azizah Ibrahim berkata, kematian kucing itu tidak dapat dielakkan berikutan ada antaranya bukan saja kekurangan zat, malah berpenyakit.

“Buat masa ini kita masih memantausemua kucing yang diselamatkan berikutan keadaan kebanyakan kucing memang tidak terurus.

“Bagi memudahkan pemantauan dibuat, kami menyerahkan kucing itu kepada beberapa penjaga sementara termasuk menghantar beberapa kucing yang dalam keadaan sakit teruk untuk mendapat rawatan di klinik haiwan,” katanya.

LAPORAN Harian Metro,  5 Oktober lalu. FOTO HM Digital
LAPORAN Harian Metro, 5 Oktober lalu. FOTO HM Digital

Menurut Azizah, dalam serbuan dilakukan di rumah lelaki itu, Rabu lalu, pihaknya merampas 70 kucing dewasa serta seekor anak kucing dan bukan 46 kucing sebagaimana dilaporkan.

Katanya, hampir semua kucing diselamatkan dalam keadaan menyedihkan berikutan diletakkan secara berasak-asak dalam sangkar sempit.

“Buat masa ini kita memang tidak pasti berapa lama kucing ini akan ditinggalkan di bawah jagaan penjaga sementara berikutan matlamat kita adalah bagi memastikan kucing itu sihat.

“Hanya selepas itu, barulah kami akan serahkan kucing itu nanti kepada individu yang ingin menjaganya secara tetap,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Kucing Malaysia Khalid Rashid berkata, pihaknya sedang berusaha mengumpul dana bagi membiayai kos rawatan serta makanan kucing yang ditempatkan sementara di bawah jagaan beberapa penjaga.

Katanya, kos rawatan nanti bukan saja membabitkan rawatan penyakit seperti kuman sporo yang boleh membawa maut, sebaliknya bagi merawat keguguran bulu, jangkitan kutu, sakit mata dan kos bagi memandulkan atau mengasi kucing berkenaan.

Sehingga kini, bil perubatan rawatan kucing yang sakit itu dijangka lebih RM6,000.

Berita berkaitan

Rawat sebelum serah tuan baru

Berkeras tak benar kemas rumah

'Jangan ambil kucing saya'

'50 kucing nazak diselamatkan [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 7:42 AM