ABANG hilang upaya selepas diserang penyakit FIP. Abang juga terpaksa memakai lampin untuk memudahkan proses membuang najis.
ABANG hilang upaya selepas diserang penyakit FIP. Abang juga terpaksa memakai lampin untuk memudahkan proses membuang najis.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kasih sayang dan perhatian dua wanita ini terhadap kucing tidak sempurna atau digelar kucing kurang upaya (KKU) tidak berbelah bahagi, malah ia dipelihara seperti anak sendiri.

Mereka sanggup memberikan sepenuh perhatian, malah berhabisan wang hingga mencecah ribuan ringgit demi kucing kesayangan biarpun haiwan itu hanya diambil dari orang atau ditemui di tepi jalan.

Berkongsi ceritanya, penjaga stor di hospital swasta, Jamilah Yaakob, 44, berkata, dia mempunyai enam kucing baka kampung dengan seekor kini hilang upaya selepas diserang penyakit Feline Infectious Peritonitis (FIP) jenis kering sejak lebih lima bulan lalu.

Menurutnya, kucing kesayangan dinamakan Abang dilahirkan sempurna Mac tahun lalu sebelum mula hilang selera makan, tidak aktif dan kerap demam ketika berusia setahun.

"Sejak itu kepalanya lembik, teleng dan berjalan pun terhuyung-hayang.

"Ujian darah yang dibuat mengesahkan Abang dijangkiti FIP, malah turut disyaki diserang penyakit toxoplasmosis.

"Sekarang ini Abang memang tak boleh berjalan sebaliknya hanya mengesot, mengerakkan kaki dan tangan.

"Dia juga pakai lampin pakai buang untuk memudahkannya membuang air kecil dan najis," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Jamilah yang tinggal di Cheras di sini, berkata, penyakit menyerang Abang adalah virus yang boleh membawa maut dan mempunyai ubat khas yang menelan kos ribuan ringgit.

NORAFIDAH memegang Kepci  yang tidak boleh berjalan sempurna kerana kaki kiri dan bahunya  patah namun masih berupaya makan dan minum sendiri.
NORAFIDAH memegang Kepci yang tidak boleh berjalan sempurna kerana kaki kiri dan bahunya patah namun masih berupaya makan dan minum sendiri.

Katanya, disebabkan kekurangan wang, dia terpaksa mencari alternatif lain dan mengakui kucingnya itu sudah menunjukkan perubahan positif.

"Sebelum ini saya keluarkan RM2,000 untuk rawatan Abang guna sepenuhnya duit simpanan sendiri.

"Ramai cakap virus itu menyebabkan kucing akan mati namun saya bersyukur Abang masih ada.

"Abang aktif dan selera makannya juga baik. Setiap malam saya urut sendinya, kaki, tangan dan tulang pinggul, malah saya percaya tidak mustahil Abang boleh sembuh," katanya yang mempunyai seorang anak perempuan.

Jamilah berkata, menjaga kucing sakit dan lumpuh sama seperti menjaga manusia sakit yang memerlukan kesabaran tinggi kerana ada masanya haiwan itu juga boleh membuat perangai tidak mahu makan ubat atau diurut.

"Saya sayang semua kucing saya seperti anak sendiri. Takkan nak buang Abang di jalan hanya kerana dia sakit dan tidak sempurna macam dulu.

"Tak boleh saya bayangkan macam mana Abang nak teruskan hidup di luar dalam keadaannya tu.

"Saya selalu kongsi cerita tentang Abang di Facebook hanya untuk suka-suka sahaja, tiada maksud lain atau mahu menagih simpati kerana setakat ini saya masih mampu tanggung mereka," katanya.

Sementara itu, Norafidah Mat Zin, 42, berkata, dia mempunyai dua kucing kurang upaya yang dinamakan Kopi dan Kepci.

Katanya, kedua-duanya diselamatkan di jalanan dan diberi orang.

Menurutnya, suaminya membuat kerusi roda khas untuk Kopi yang lumpuh dan menghadapi kesukaran membuang air kencing dan kerosakan saraf pinggang namun haiwan kesayangannya itu sudah mati tahun lalu.

"Sekarang cuma tinggal Kepci dan 30 kucing lain yang normal. Kepci tak boleh berjalan sempurna kerana kaki kiri patah selain bahunya patah, tetapi masih boleh makan dan minum sendiri.

"Saya seikhlas hati menjaga semua kucing tidak kisahlah comel atau tidak, sihat atau sakit kerana saya anggap ini tanggungjawab.

"Kucing biasa pun kalau dijaga dengan baik mesti cantik juga," katanya yang tinggal di Manjung, Perak.

Dengar suara bak bayi dalam longkang

"Saya masih ingat saat menemui Bubu, ketika itu terdengar sayup suara kucing seperti meminta tolong dalam longkang.

"Saya rasa macam jumpa bayi apabila melihat Bubu memakai lampin pakai buang," kata penyelia tapak pembinaan, Ahmad Rashid Rosli, 33, ketika dihubungi, baru-baru ini.

Ahmad Rashid berkata, kucing betina yang dinamakan Bubu itu adalah kucing yang diselamatkan di longkang dalam keadaan memakai lampin pakai buang, mengesot dan basah pada Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, Bubu sudah mati pada Februari lalu dipercayai kerana asma dan sebelum itu kucingnya menggunakan kerusi roda yang diberikan percuma oleh seorang individu.

"Hati mana tidak tersentuh melihat keadaannya itu lebih-lebih lagi saya suka kucing.

MAZATUL Hitiah bersama kucing jalanan yang ditemui.
MAZATUL Hitiah bersama kucing jalanan yang ditemui.

"Tanpa berfikir panjang, saya terus bawanya ke beberapa klinik sebelum disahkan yang tulang belakang dan pinggangnya patah," katanya yang tinggal di Petaling Jaya, Selangor.

Menurutnya, selain Bubu, dia dan isteri, Mazatul Hitiah Adnan, 33, tidak kisah berhabisan wang demi haiwan kesayangan walaupun bukan dari baka mahal dan hanya dikutip di jalanan dan datang ke rumahnya.

Katanya, Bubu menjalani pembedahan untuk tulang belakang dan tiga pembedahan lain untuk membuang ekornya membabitkan kos RM4,550 ditanggung mereka sendiri tanpa sumbangan orang ramai.

"Walaupun Bubu hanya kucing diselamatkan di jalan, tetapi kami tak sampai hati biarkannya kerana dia memang memerlukan perhatian.

"Kini Bubu sudah tiada, tetapi kami sentiasa ingat dan sayangkannya," katanya yang mempunyai dua lagi kucing baka kampung.

Beliau berkata, dia dan isteri sudah tujuh tahun berkahwin tetapi belum mempunyai anak namun menganggap kucing peliharaan seperti anak sendiri dan mahu berkongsi rezeki dengan haiwan terbabit.

"Kami juga percaya rezeki yang diberikan untuk mereka akan berpatah balik kepada kami nanti," katanya.

Kucing sakit perlu dirawat doktor vaterinar bertauliah

Kasih sayang dan perhatian sahaja tidak mencukupi untuk merawat kucing kurang upaya (KKU) atau sakit, sebaliknya penting diberikan rawatan daripada doktor veterinar bertauliah.

Berkongsi pendapat, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) Arie Dwi Andika berkata, khidmat nasihat dan rawatan tepat penting untuk perkembangan kesihatan kucing sakit.

Menurutnya, usaha menyelamatkan haiwan itu terutama di jalanan sesuatu yang baik dan memerlukan kesabaran tinggi untuk menjaga serta merawatnya.

"Pencinta kucing sanggup menjaga KKU atau sakit, tetapi kasih sayang sahaja tidak cukup kerana perlu diberikan rawatan dan khidmat nasihat yang betul.

"Penjagaannya juga mempunyai perbelanjaan khusus seperti memerlukan lampin pakai buang. Perkara ini bukan mudah, tetapi ada penyelamat haiwan yang memang ada semangat dan kesabaran merawat serta menjaga kucing ini," katanya.

Beliau berkata, pemilik kucing dinasihatkan tidak membuang kucing yang sakit di jalanan, sebaliknya disaran mencari pengganti yang boleh dan mampu menjaga haiwan itu.

Mengulas lanjut, Arie Dwi berkata, istilah KKU hanya popular di kalangan pencinta haiwan itu dan bukan diberikan pihak berkaitan bahasa.

"Sama seperti manusia ada yang sakit, lumpuh, sihat dan istilah KKU digunakan untuk merujuk kucing yang lumpuh dan tidak boleh menguruskan diri sendiri termasuk seperti perlu dibantu untuk makan, membuang air kecil dan najis.

"Kita khuatir juga jika individu menjadikan kucing sakit atau lumpuh sebagai sara hidup (melalui sumbangan orang ramai) dan kita berharap perkara ini dielakkan dan tidak berlaku," katanya.

Beliau berkata, Galeri Animal Malaysia secara puratanya menemui dua kes KKU atau sakit dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM) Khalid Rashid berkata, budaya membuang kucing perlu dibendung supaya tiada lambakan kucing jalanan terutama yang sakit dan lumpuh.

Menurutnya, sejak KKM ditubuhkan pada 1971, puluhan ribu kucing diselamatkan dan biarpun ada rumah perlindungan kucing, tetapi pihaknya tidak mahu orang ramai mengambil kesempatan menghantar haiwan itu ke situ.

Katanya, pihaknya giat mengadakan kempen kebajikan haiwan dan membuat pengangkatan kucing kepada keluarga baharu dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

"Usaha pemilik yang jaga kucing sakit sangat dipuji. Jangan buang apabila sudah tidak cantik, sakit atau lumpuh," katanya.

Beliau menyarankan jika tidak mampu, usah bela dalam jumlah banyak, boleh kembiri dan ini dapat menjaga kesihatan serta memberi lebih kasih sayang kepada haiwan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 12:00 PM