ANTARA individu yang ditahan polis kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan aktiviti keganasan. FOTO ihsan Polis
ANTARA individu yang ditahan polis kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan aktiviti keganasan. FOTO ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LAPAN lelaki terdiri daripada empat warga tempatan dan empat warga asing disyaki terbabit dalam aktiviti kumpulan pengganas, ditahan dalam operasi khas berasingan di Selangor, Sabah dan Perak, 27 September hingga 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan terbaru dilakukan terhadap dua individu yang juga bekas banduan disyaki merekrut banduan di penjara Tapah untuk menganggotai kumpulan pengganas.

Menurutnya, suspek yang berusia 53 tahun itu pernah ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), 7 Februari 2013.

"Dua individu ini juga merancang untuk melancarkan serangan ke atas rumah ibadat orang Islam, Kristian dan Hindu untuk mencetuskan konflik antara kaum di Malaysia.

"Seorang suspek juga disyaki melindungi maklumat mengenai seorang anggota Tandzim Al-Qaeda Malaysia (TAQM)," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, selain itu turut ditahan pensyarah undangan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) warga Albania, 35, kerana mempunyai hubungan dengan anggota kumpulan Daish di luar negara.

"Manakala pada 27 September lalu, lima individu terdiri daripada dua warga tempatan, dua warga Filipina dan seorang warga Filipina berstatus permaustautin tetap (PR) berusia 30 hingga 53 tahun ditahan di Sandakan, Sabah.

"Semua mereka disyaki terbabit dalam aktiviti penyusupan masuk anasir-anasir pengganas Abu Sayyaf Group (ASG) ke Malaysia melalui Sabah," katanya.

Katanya, operasi ini adalah susulan daripada tangkapan tujuh individu pada 14 September lalu di Kuala Lumpur.

"Semua lapan suspek yang ditahan bagi membantu saisatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 (Akta 747) dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA),"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 5:41 PM