ANTARA individu yang ditahan polis kerana disyaki terbabti dengan kumpulan pengganas. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA individu yang ditahan polis kerana disyaki terbabti dengan kumpulan pengganas. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


TUJUH lelaki warga Filipina dan seorang lelaki tempatan ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas dalam lima serbuan di Putrajaya dan Sabah antara 30 Oktober hingga Isnin lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan pertama dilakukan di Putrajaya pada 30 Oktober lalu membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai ejen jualan jongkong emas.

“Suspek dipercayai terbabit dalam menyalurkan dana kepada Akel Zainal (rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan Daish di Syria) pada 2017 lalu bagi tujuan membiayai kegiatan keganasan.

“Pada 1 November lalu, tiga warga Filipina yang bekerja sebagai buruh berusia 27 hingga 51 tahun ditahan di Tenom, Sabah kerana menganggotai Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang terbabit dalam kegiatan ‘culik untuk tebusan’ (KFR) di Selatan Filipina dan Sabah.

“Seorang daripada suspek berusia 34 tahun mempunyai kemahiran dalam menghasilkan senjata api bagi kegunaan ASG,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan ketiga dibuat pada 8 November lalu di Ranau, Sabah membabitkan dua suspek warga Filipina berusia 35 tahun dan 46 tahun yang bekerja masing-masing sebagai buruh serta juruteknik.

“Kedua-dua suspek adalah anggota ASG dan terbabit kegiatan KFR di Selatan Filipina dan Sabah. Suspek berusia 35 tahun berperanan merekrut kanak-kanak untuk menyertai ASG dan dijadikan ‘perisai’ manusia semasa bertempur dengan tentera Filipina di Basilan, Selatan Filipina.

“Suspek juga terbabit dalam memenggal kepala tebusan ASG. Ketika ditahan, kedua-dua suspek sedang merancang untuk melarikan diri ke Selatan Filipina bagi mengelak ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, tangkapan keempat dibuat pada 10 November lalu apabila seorang suspek warga Filipina berusia 30 tahun bekerja sebagai tukang besi ditahan di Kinarut, Sabah.

Katanya, suspek adalah salah seorang komander ASG yang juga orang kanan kepada Furiji Indama, Pemimpin Kanan ASG.

“Tangkapan kelima pula dilakukan pada 12 November lalu di Tenom Sabah membabitkan seorang suspek warga Filipina berusia 60 tahun yang bekerja sebagai peniaga pasar malam.

“Suspek dipercayai terbabit dalam melindungi seorang suspek yang ditahan pada 8 November lalu ketika cuba melarikan diri dari buruan polis.

“Semua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA-Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 11:47 AM