Ayob Khan pada sidang media di Bukit Aman hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ayob Khan pada sidang media di Bukit Aman hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohd Azam Shah Yaacob


SEKUMPULAN lelaki yang merancang melancarkan serangan di negara ini serta Indonesia antara 16 individu ditahan Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman.

Mereka ditahan dalam operasi khas dijalankan 10 Julai lalu hingga semalam.

Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kumpulan itu yang terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita Indonesia berusia 22 hingga 36 tahun ditahan di beberapa lokasi di Sarawak, Pulau Pinang, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Katanya, kumpulan itu baru menubuhkan sel baru Daesh di negara ini dan aktif mempromosikan gerakan mereka di media sosial bagi tujuan merekrut anggota baru.

“Ahli kumpulan itu ditahan dalam operasi 14 September hingga semalam dan mereka merancang mahu melancarkan serangan apabila berjaya merekrut seramai mungkin anggota.

“Suspek lelaki tempatan itu pula merancang menyerang pemimpin parti politik atas dakwaan mereka menindas serta tidak menghormati ajaran Islam serta Melayu,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Ayob Khan berkata, sebelum itu pada 10 Julai lalu, polis menahan seorang lelaki pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia berusia 25 tahun di Keningau, Sabah kerana terbabit kumpulan pengganas Maute di selatan Filipina.

“Sejak awal tahun lalu suspek berbaiah dengan pemimpin Daesh, Abu Bakar Al-Baghdadi menerusi aplikasi telegram.

“Suspek juga dikenal pasti sebagai perantara yang menguruskan perjalanan suami isteri warga Indonesia bersama anak mereka yang melancarkan serangan bunuh diri di sebuah gereja di Jolo, selatan Filipina pada Disember 2018.

“Susulan itu juga, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 21 serta 26 tahun di Keningau dan Tenom, Sabah pada 6 September lalu yang turut bertindak sebagai perantara bagi mengurus perjalanan suami isteri serta anak mereka itu.

“Dua suspek itu turut dikesan menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas Maute dan merancang berjihad di Syria,” katanya.

Menurut Ayob Khan, pada 2 Ogos lalu pula, polis menahan wanita warga India berusia 38 tahun bekerja sebagai pembantu pembersihan rumah di Subang Jaya kerana menganggotai kumpulan pengganas ‘Sikh For Justice’ (SFJ) sejak 2017 yang diharamkan di India dan bertindak menyalurkan dana bagi persediaan kumpulan itu.

Katanya, suspek yang ditahan mengikut Akta Imigresen kemudian diusir ke negara asalnya 15 Ogos lalu.

“Sementara itu, 15 suspek lain ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Bab VIA - Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 1:05 PM