Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SURI rumah ditemui mati dengan kesan tikaman di perut dan dada dipercayai dibunuh di rumahnya di Kampung Hijrah, Penor, Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mangsa, Norhasilah Ismail, 34, dikatakan baru pulang menghantar dua anaknya ke sekolah sebelum menyedari rumah mereka dipecah masuk seorang lelaki dipercayai ingin menyamun.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian terdapat anak lelaki mangsa berusia empat tahun yang dikurung suspek di dalam bilik.

“Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek menyebabkan wanita itu ditikam di perut sebelah kanan dan dada sebelah kiri menggunakan senjata tajam.

“Mangsa ditemui suaminya yang baru pulang dari kerja pada 12.30 tengah hari di ruang tamu rumah mereka. Siasatan masih dilakukan mengenai motif kejadian dan kami tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan samun.

“Kerugian dan barangan yang hilang masih lagi disiasat polis bersama pasukan forensik dan unit anjing pengesan K9,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Difahamkan anak lelaki mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan ketika kejadian suspek memakai topeng.

Abdul Aziz berkata, pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di rumah mangsa bagi memburu suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jenazah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 5:50 PM
Anggota polis membawa jenazah dalam kejadian samun  di Kampung Hijrah, Penor. FOTO Farizul Hafiz Awang
Anggota polis membawa jenazah dalam kejadian samun di Kampung Hijrah, Penor. FOTO Farizul Hafiz Awang